Peranan utama ibu bapa kawal anak anak main game atas talian - Fahmi
- 38 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal penggunaan permainan digital dalam kalangan anak-anak bagi memastikan perkembangan minda, disiplin dan prestasi akademik mereka tidak terjejas.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan ibu bapa tidak seharusnya meninggalkan anak-anak dengan peranti yang mempunyai pelbagai aplikasi tanpa mengetahui isi kandungannya kerana pendedahan tanpa kawalan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan minda kanak-kanak.
"Kalau anak-anak kita kecil, minda dia akan terbentuk dengan apa yang selalu dia tengok.
"Jadi kita nak minta ibu dan ayah belajar macam mana nak aktifkan cara untuk mengawal apa aplikasi yang anak kita muat turun dan tonton.
"Jangan bagi anak kita main 'game' berjam-jam lamanya. Tak boleh.. nanti dia nak belajar macam mana, makan macam mana?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual Selamat Pagi Malaysia (SPM) ketika Pelancaran Jelajah Ramadan Edisi Ke-14 yang diadakan di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, di Larkin, Johor Bahru hari ini.
Menceritakan lanjut, Fahmi berkata beliau mengambil pendekatan tegas dengan ‘mengharamkan’ anaknya daripada bermain satu permainan digital selepas mendapati anaknya terlalu leka dengan permainan berkenaan.
"Dia (anak saya) tak siap kerja sekolah, peperiksaan corot, lepas itu tak nak turun makan, dia dalam dunia itu sahaja, jadi saya dah haramkan.
"Tapi sekarang apa kita buat, dia boleh main apa-apa 'game', tapi saya hadkan satu jam atau 30 minit sahaja, kalau dia nak main lebih dari waktu itu, dia kena mohon dan saya kalau saya benarkan baru boleh (main).
"Jadi kita minta ibu bapa agar sentiasa berwaspada (seperti) tahu anak kita buat apa, hadkan penggunaan telefon bimbit atau peranti kepada satu masa yang sesuai dan sentiasa pantau apa yang anak kita tonton dan main dalam telefon bimbit," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Kaji Selidik Pengguna Internet 2024 (IUS 2024) melaporkan 60.7 peratus anak-anak di Malaysia memiliki telefon pintar masing-masing dan boleh menggunakan telefon untuk bermain game.
Namun penggunaan permainan digital berlebihan menyebabkan kanak kanak bersifat negatif serta menyebabkan kemerosotan dalam pendidikan dan sahsiah.





