top of page

Kekuatan dalaman teras keutuhan KEADILAN - Anwar

  • 59 minutes ago
  • 1 min read
DS Anwar menyampaikan amanat kepada KEADILAN Johor dalam perjumpaan tertutup di Johor Bahru
DS Anwar menyampaikan amanat kepada KEADILAN Johor dalam perjumpaan tertutup di Johor Bahru

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kekuatan dalaman parti merupakan tunjang utama kepada keutuhan organisasi serta kestabilan politik negara.


Beliau berkata demikian ketika singgah sebentar di Johor Bahru bagi menghadiri perjumpaan tertutup bersama KEADILAN Negeri Johor, semalam.


Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa kebersamaan yang tulus, disiplin yang utuh serta semangat kerja berpasukan yang tidak berbelah bahagi perlu terus diperkasakan dalam kalangan kepimpinan dan akar umbi parti.


"Saya tekankan bahawa kekuatan dalaman merupakan teras kepada keutuhan parti dan ia menuntut kebersamaan yang tulus, disiplin yang utuh serta semangat kerja berpasukan yang tidak berbelah bahagi," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, parti perlu berdiri teguh dengan mengikat akar keanggotaan melalui kefahaman dan iltizam perjuangan yang jelas, selain mengelakkan budaya mendoakan kelemahan atau kejatuhan pihak lain.


Beliau turut mengingatkan bahawa kestabilan politik adalah prasyarat penting untuk merencana kepimpinan negara yang berwibawa dan berkesan.


"Kestabilan politik merupakan prasyarat penting untuk merencana kepimpinan negara yang berwibawa dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang," ujar beliau lagi.


Sebelum beredar, Presiden KEADILAN itu menyeru seluruh pimpinan termasuk KEADILAN Johor agar terus mendampingi rakyat serta kekal komited memperjuangkan agenda reformasi demi masa depan yang lebih adil dan sejahtera.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page