Peranan ulama dan guru agama amat mencabar pada zaman maklumat di hujung jari dan digunakan pula oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan tohmahan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ulama dan umara' bergandingan untuk memberi kesedaran dan memperbaiki tradisi ilmu dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini.
"Peranan ulama dan umara', guru agama untuk membantu membendung, tugas kita mendididik, dakwah, memberikan kesedaran dan mempertahankan tradisi ilmu. Didik dengan kefahaman dan ditambah dengan kasih sayang.
"Umat yang disebut seimbangan dan sederhana, mempertahankan kesederhanaan, tidak mengkafirkan, merendahkan darjat orang, apatah lagi fitnah," kata Anwar dalam Program Pertemuan Mahabbah YAB PM bersama Ulama dan Asatizah di Putrajaya.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mengucapkan terima kasih kepada badan Islam, ulama yang melaksanakan program mahabbah tersebut.
Katanya, melalui sistem pendidikan yang bakal diperbaiki kerajaan, iltizamnya adalah untuk meletakkan anak muda mempunyai kefahaman jelas, sama ada melalui sekolah agama, pondok, maahad tahfiz tetapi dengan kefahaman membina serta tidak merobohkan negara dengan fahaman sempit.
Selain itu, Anwar turut menimbulkan isu perpecahan yang melanda umat Islam usai Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.
Katanya masyarakat Malaysia tidak boleh berpuak puak hanya kerana politik. Tidak bersetuju dengan pandangan sesebuah parti tidak mengapa tetapi tidak boleh wujud budaya ekstrem, apatah lagi menganggap puak yang bertentangan menyelewenag daripada ajaran agama.
"Di sebut sejarah golongan khawarij dan seumpamanya, pertempuran, pergaduhan sesama sendiri orang Islam. Kalau ikut sejarah memang berlaku 30 tahun perang (umat Kristian) Khatolik - Protestan yang berjuta terkorban.
"Di zaman Mao Tze Tung puluhan juta terkorban akibat kekejaman komunis di China, di Rusia zaman Stalin jutaan disumbat ke penjara, dibunuh.
"Tetapi muktakhir ini perkara tersebut menimpa umat Islam. Sebab itu di Malaysia kita harus lebih waspada agar penyakit ini tidak parah dan menimbulkan perpecahan yang sukar diubati," katanya.
Anwar juga menolak tohmahan yang dilepar kononnya beliau setelah membentuk kerajaan maka prinsipnya lebih 'cair' dan tidak lagi tegas sebagaimana ketika menjadi pembangkang.
Beliau menegaskan soal negara hukum wajib ditegakkan dan perlu berjalan sebagaimana termaktub dalam undang undang negara.
"Mesti patuh kepada undang undang. Saya tidak pernah beri jaminan kepada sesiapa menyatakan akan terlepas hukuman sekiranya diputuskan oleh hakim yang bebas dan adil. Kalau saya mahu kompromi saya sudah jadi PM bertahun tahun dulu.
"Begitu juga kebebasan profesionalisme, badan penguatkuasaan. Saya ada pertemuan dengan Ketua Polis Negara, SPRM, Peguam Negara dan lain lain yang memberikan gesaan sama.
"Saya mahu buktikan bahawa ada orang Melayu, anak Melayu yang menggunakan kuasa dia untuk membela nasib rakyat terbanyak.
"Saya nak buktikan orang yang percaya kepada Islam itu dihormati dan diyakini kerana prinsip rahmah yang ditegakkan. Mudah mudahan kita doakan dapat dicapai semua ini," katanya lagi.
Comments