Parlimen berperanan untuk menentukan sama ada proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 12 Januari lalu diterima atau ditolak melalui pengundian.
Bagi Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, tujuan utama Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen esok adalah bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan Ordinan Darurat tersebut, kerana itu Baginda bertitah agar sidang dilaksanakan sebelum 1 Ogos 2021.
"Pada 26 Julai ini kita akan hadir (ke Dewan Rakyat). Kalau bergantung kepada notis, apa yang mereka hendak buat ialah bentangkan (Ordinan Darurat) tetapi kalau lihat notis, tidak ada usul, tidak ada perbahasan dan tidak ada undi.
"Itu melanggar Perkara 150 (3) dan kita sebagai Ahli Parlimen bersama Speaker, Perdana Menteri, menteri undang-undang, semuanya telah mengangkat sumpah untuk membela Perlembagaan Persekutuan. Kita tidak boleh melanggar apa yang jelas, iaitu Perkara 150 (3) itu.
"Kita harap pada hari Isnin ini semua pihak akan tunaikan tanggungjawab untuk menjaga Perlembagaan, menjaga sistem demokrasi rakyat.
"Maka proklamasi darurat itu hendaklah dibentang, dibahas dan kita hendak membuat satu keputusan dengan mengundi, sama ada meluluskan atau menolak darurat. Itu adalah tujuan dan niat Agong (memanggil sidang Parlimen). Bukan (datang Parlimen) duduk diam-diam dengar cerita," katanya dalam forum maya StudioKini - Asam Pedas (vol 14) bertajuk: "PN Langgar Perlembagaan Tidak Bentangkan Ordinan Darurat di Parlimen", malam tadi.
Menurut William lagi, Parlimen tidak akan menepati kehendak Perkara 150 (3) Perlembagaan sekiranya tidak membenarkan perbahasan dan pengundian yang akan memutuskan resolusi untuk darurat.
"Bagaimana Parlimen akan melulus atau menolak jika kita tidak boleh berbahas? Kalau kita tidak diberikan satu peluang untuk mengundi maknanya kerajaan ini telah melanggar 150 (3), di mana peranan Ahli Parlimen 'ditukar' untuk mendengar sahaja.
"Itu bukan tujuan kita mendengar, sama ada darurat itu betul atau tidak. Kita wakil rakyat dan rakyat perlu kemukakan pandangan. Bagaimana hari ini rakyat dalam keadaan susah dan darurat telah gagal.
"Kita (Ahli Parlimen) ada satu tanggungjawab untuk menolak darurat yang gagal ini," katanya lagi.
Comments