Peranan fatwa lebih luas tangani cabaran moden - Mufti WP
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 3 min read

Institusi fatwa perlu memainkan peranan lebih luas dalam menangani cabaran keluarga moden dengan bukan sahaja menjelaskan hukum halal dan haram malah membentuk pasangan yang memiliki kecerdasan emosi serta memahami tanggungjawab dalam membina rumah tangga yang penuh kasih sayang dan rahmat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Sheikh Dr Fawwaz Fadzil berkata pendekatan fatwa dalam isu kekeluargaan perlu melangkaui penetapan hukum semata-mata dengan membimbing suami isteri mengurus emosi, konflik dan tanggungjawab rumah tangga berdasarkan teladan Rasulullah SAW.
"Institusi fatwa perlu menjadi rujukan yang membantu pasangan membina keluarga yang harmoni, bukannya menjadi alat untuk mana-mana pihak mencari justifikasi bagi memenangkan kepentingan atau hawa nafsu peribadi.
"Fatwa bukan sekadar menjelaskan hukum tetapi perlu mendidik pasangan mengenai kecerdasan emosi dan cara mengurus hubungan keluarga dengan mengambil teladan daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW," katanya dipetik Dar Ifta Misriah.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Fatwa Sedunia Ke-11 yang berlangsung di Kaherah, Mesir semalam.
Dalam ucapannya bertajuk “Penyelesaian Fatwa dalam Isu Kekeluargaan: Meneladani Sunnah dan Mengambil Kira Fitrah dalam Membina Rumah Tangga Penuh Rahmat”, Fawwaz berkata keluarga masa kini berdepan cabaran semakin kompleks akibat materialisme, perbandingan sosial dan tekanan pekerjaan.
Menurutnya, antara cabaran yang semakin ketara ialah kecenderungan sesetengah pasangan menjadikan perkahwinan sebagai medan mengira hak, sumbangan dan keuntungan masing-masing.
Katanya kecenderungan menghitung setiap masa, tenaga dan wang yang diberikan kepada pasangan seolah-olah satu transaksi perniagaan boleh menghakis nilai ihsan, pengorbanan, kasih sayang dan rahmah yang menjadi asas kehidupan berumah tangga.
Fawwaz berkata media sosial turut memburukkan keadaan apabila ia menjadi ruang mempamerkan gaya hidup ideal dan mewah sehingga mendorong pasangan mengejar ukuran kebahagiaan berdasarkan apa yang dipaparkan di skrin, bukannya ketenangan yang dibina dalam rumah tangga.
Beliau turut mengingatkan bahawa tekanan kerjaya dan usaha mengejar kedudukan ekonomi tidak seharusnya menyebabkan rumah tangga terpinggir sehingga kediaman hanya menjadi tempat untuk tidur dan ruang komunikasi serta hubungan emosi antara pasangan semakin berkurangan.
Dalam konteks itu, beliau berkata pekerjaan dan sumbangan wanita kepada kestabilan ekonomi keluarga adalah sesuatu yang dibenarkan dan dipandang baik, namun masalah timbul apabila tekanan pekerjaan menyebabkan keletihan sehingga mengorbankan hubungan kekeluargaan.
Fawwaz turut menegaskan bahawa penglibatan suami dalam kerja rumah tidak menjejaskan maruah atau sifat kelelakiannya, sebaliknya mencerminkan sikap rendah hati, tanggungjawab dan kerjasama yang mempunyai teladan daripada kehidupan Rasulullah SAW.
Menurutnya, fatwa perlu membimbing pasangan melihat kerjasama dalam urusan rumah tangga sebagai tanggungjawab bersama dan sebahagian daripada teladan Nabi terutama dalam menangani pemikiran maskulin melampau yang meletakkan keseluruhan beban rumah tangga kepada isteri.
Menyentuh hubungan lelaki dan wanita, beliau berkata perbezaan fitrah antara kedua-duanya tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan atau alasan untuk menentukan kelebihan mutlak satu pihak terhadap pihak lain sebaliknya sebagai asas kepada konsep saling melengkapi.
Beliau turut memberi amaran terhadap dua kecenderungan ekstrem iaitu tuntutan kesamarataan mutlak yang mengabaikan perbezaan fitrah, biologi dan psikologi, serta pemikiran patriarki yang menjadikan sifat kelelakian sebagai alasan untuk mengawal dan menindas wanita.
Dalam masa sama, Fawwaz menegaskan konsep qawwamah (kepimpinan dan tanggungjawab suami) tidak boleh digunakan untuk menghalalkan kawalan mutlak atau kediktatoran dalam keluarga.
Katanya, qawwamah merupakan amanah dan tanggungjawab dalam aspek penjagaan, perlindungan serta nafkah, bukannya keistimewaan sosial untuk menguasai pasangan.
Beliau berkata perbezaan kemampuan kewangan antara suami dan isteri juga tidak mengubah tanggungjawab masing-masing dalam keluarga termasuk kewajipan suami menyediakan nafkah, manakala sumbangan kewangan isteri perlu dihargai dan dihormati.
Fawwaz berkata pendekatan fatwa yang mengambil kira realiti semasa penting bagi memastikan institusi agama dapat membantu menyelesaikan konflik rumah tangga secara adil dan seimbang.
"Institusi fatwa perlu menjadi rujukan untuk membina rumah tangga yang penuh rahmat, bukan alat untuk memenangkan hawa nafsu atau ego mana-mana pihak," katanya.




Comments