Peranan Anwar sebagai jurucakap membela umat Islam terserlah - Raja Bahrin
- Suara Keadilan
- May 20
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai jurucakap utama membela isu-isu umat Islam di peringkat global semakin terserlah apabila beliau dilihat konsisten membawa suara kolektif bagi memperjuangkan agenda Islam.
Hal itu disuarakan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah usai penyampaian ucapan yang sangat berkesan oleh Perdana Menteri Ke-10 itu dalam 'Forum Kazan Rusia-Dunia Islam' yang baru sahaja berlangsung.
"Forum berkenaan berjaya menghimpunkan sejumlah besar negara-negara Islam dan menjadi medan penting dalam merapatkan kerjasama serta memupuk perpaduan dalam kalangan negara Islam.

"Datuk Seri Anwar turut memetik ayat-ayat al-Quran dan kata-kata tokoh agung Tatar terdahulu dalam bahasa Tatar yang berjaya menyentuh hati dan fikiran para hadirin.
"Beliau menekankan pentingnya kesatuan dan jalinan erat antara negara-negara Islam demi kekuatan kolektif umat.
"Dalam masa yang sama, beliau turut memuji inisiatif Presiden Putin menganjurkan Forum Kazan ini sebagai usaha membina hubungan yang harmoni dengan dunia Islam dalam suasana global yang tidak menentu," ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Raja Kamarul menyifatkan kunjungan Anwar ke Rusia buat kali kedua ini membuktikan komitmen teguh Malaysia dalam memperkukuh hubungan dengan negara berkenaan terutamanya melibatkan hubungan erat yang telah terjalin antara Rusia dan komuniti Islam antarabangsa.
Katanya, beliau turut diberi peluang untuk menyampaikan ucapan dalam Forum Kazan, dengan tajuk 'Islam dan Alam Sekitar Binaan'.
"Dalam sesi tersebut, saya mengetengahkan pendekatan pembangunan Malaysia yang terkawal serta peka terhadap kelestarian alam sekitar dan ekologi dalam mengejar kemajuan.
"Malaysia memiliki potensi besar untuk menjadi peneraju dalam menunjukkan jalan pembangunan yang seimbang secara rohani dan material dalam kerangka Islam, selari dengan konsep Malaysia MADANI yang diterajui Anwar sebagai tokoh Islam global masa kini," katanya lagi.
Comentários