Perak bincang dengan Perhilitan, cari jalan tangani konflik gajah-manusia
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Perak akan mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani konflik gajah dan manusia di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya mengambil serius mengenai pelbagai kejadian berkaitan gajah di sekitar laluan berkenaan yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Justeru jelasnya, Kerajaan Negeri bakal mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu itu.
"Kebelakangan ini kelihatan gajah-gajah ini menyeberangi laluan itu secara berkumpulan.
"Kita akan berbincang dan perlu belajar tingkah laku gajah ini.. apa yang menyebabkan kawanan gajah ini kerap menyeberang laluan itu," katanya dipetik.
Saarani ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utama (NCER) Negeri Perak di Ipoh pada Khamis.
Pada 10 Mei lalu, insiden kematian seekor anak Gajah akibat dilanggar sebuah lori di laluan berkenaan menarik perhatian ramai. Ia susulan situasi menyayat hati yang terjadi apabila seekor gajah betina seakan 'meratapi' kematian anak gajah itu itu.
Manakala, Selasa lepas, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di KM11, JRTB Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam.