Penyokong Pas di Pantai Timur mahu parti bersendirian?



Pengkhianatan yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) menyebabkan Pas tidak bertanding di Sabah buat pertama kali sejak 1986, membuat banyak penyokong parti itu berpendapat tiada gunanya bekerjasama dalam mana-mana gabungan.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, bukan sedikit ahli dan penyokong Pas khususnya di Pantai Timur Semenanjung berpendapat lebih baik kepimpinan membuat keputusan bersendirian dan fokus kepada usaha mempertahankan pemerintahan di Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke 15.


Kata mereka, bekerjasama akan mengakibatkan kerusi-kerusi tradisi Pas juga akan dibahagi-bahagikan bersama Umno dan Bersatu.


Situasi kerugian di Sabah pada pendapat mereka mungkin berulang di Pantai Timur jika Pas beralah demi jawatan di peringkat Persekutuan yang tidak semestinya menguntungkan rakyat di bawah.


"Penyokong-penyokong Pas telah beri amaran, terutama di Pantai Timur bahawa mereka tidak percaya dengan gabungan ini. Mereka tidak percaya dengan PN mahupun MN.


"Pimpinan atasan lambat laun akan 'dipadan muka' oleh ahli mereka sendiri, pemimpinan Pas ini akan dihukum kerana mereka buat juga walaupun ahli-ahli tak setuju," kata Azan kepada Suara Keadilan.


Menurut Azan lagi, beliau percaya Pas sudah hilang haluan perjuangan yang dilaung-laungkan selama ini dan mereka sedang menikmati keseronokan dunia dengan pelbagai laba yang diberikan oleh kerajaan 'tebuk atap'.


"Bukan sahaja hilang haluan kepada agama dan pencapaian politik, lebih malang lagi mereka juga akan hilang kepercayaan penyokong-penyokong.


"Sekarang mereka perdaya penyokong kononnya masih memperjuangkan agama tetapi mereka seronok terima habuan wang, jawatan dalam GLC dan sebagainya.


"Di Terengganu, ahli Pas Ustaz Azhar Idrus juga telah dibatalkan ceramah agamanya sebab kritik Pas, nampak sangat pimpinan Pas hari ini punya agenda dunia yang tebal, agama ini hanya untuk mendiamkan pengikut sahaja.


"Bagi saya, sangat jelas kepimpinan Pas terutama bila jadi kerajaan tunjuk belang mereka. Dalam pilihan raya negeri Sabah mereka tak boleh menutup belang (kerana dipinggirkan PN) dan mereka telah dikritik oleh ahli mereka sendiri," katanya.


Untuk rekod, pertelagahan berlaku di Terengganu antara Pas dan Umno berkenaan kerusi Parlimen negeri itu. Pemimpin Pas mahu kekal di kerusi yang sedia dimenangi sebanyak 6 daripada 8 kerusi.


Umno yang tidak puas hati membayangkan akan meletak calon di kesemua 8 kerusi Parlimen berkenaan.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio