
Penyertaan United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) ke dalam Pakatan Harapan (PH) akan mengukuhkan lagi strategi Keluarga Besar PH.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemasukan itu sesuatu yang amat menggembirakan pada ketika PH mula mendapat kembali momentumnya dengan kesediaan sekutu-sekutu lama untuk memulihkan kerjasama.
"Saya mengalu-alukan kemasukan UPKO ke dalam keluarga besar Pakatan Harapan yang baru diumumkan Setiausaha Agung Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail petang tadi (semalam).
"Ia suatu khabar yang cukup menggembirakan dan bermakna tatkala PH sedang merangkul seberapa besar kekuatan kita dalam mengangkat denyut nadi rakyat berbilang kaum, termasuk kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam era yang sangat mencabar hari ini," katanya.
Menurut Presiden KEADILAN itu, penyertaan UPKO juga akan lebih menguatkan lagi suara PH dalam memberi cadangan dan cabaran kepada kerajaan BN-PN dalam hal-hal memerangi pandemik Covid 19 dan pemulihan ekonomi.
"Tantangan kesihatan dan ekonomi saat ini sangat besar, dan ia memerlukan kekuatan semua, dan dari pelbagai pihak.
"Saya hargai kebersamaan ini, serta semoga kita dapat bersama merencana strategi yang ampuh dan rapi dalam menyediakan bangsa dan negara untuk fasa pasca Covid-19 kelak," katanya lagi.