top of page

Penyertaan MUDA: PH punya sayap pemuda sendiri - AMK Kedah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Sep 8, 2022
2 min read


Niat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam persidangan pilihan raya MUDA pada 6 September lalu ingin menyertai Pakatan Harapan (PH) meskipun baik namun perlu difikirkan masak masak oleh pimpinan gabungan.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari, biar pun sayap pemuda itu meraikan usaha mana-mana pihak yang ingin bersama dalam memastikan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke 15, AMK Kedah juga menghormati semangat persefahaman dan konsesus dalam gabungan PH.


Dalam hal berkenaan, katanya, pemimpin PH perlu meraikan pandangan akar umbi parti masing masing yang mempunyai sikap tertentu terhadap MUDA.


"Pimpinan PH perlu meraikan demokrasi dengan mendengar dan meneliti pandangan akar umbi. Tambahan pula, setiap parti komponen sudah mempunyai struktur dan jentera pimpinan muda sebagai sayap utama parti.


"PH tidak pernah ketandusan pemimpin muda dan berwibawa. Saban hari, banyak golongan muda dari segenap lapisan masyarakat dan latar belakang yang muncul sebagai benteng utama parti gabungan ini.


"Fokus AMK kini jelas, kita perlu kukuhkan struktur sayap parti sekaligus memperkuat hubungan antara parti-parti komponen sedia ada. Keutamaan rakyat dan anak muda kekal sebagai agenda utama perjuangan," katanya.


Selain itu, Taufiq mengingatkan sejarah lepas apabila terdapat pihak yang cuba memperalat gabungan PH demi kepentingan golongan tertentu.


Katanya, terdapat juga pihak yang tidak menghormati konsensus bersama Majlis Presiden dengan memungkiri janji dan bersikap angkuh hanya kerana kepentingan diri yang ingin dicapai.


"Perjuangan bukan sesuatu yang mudah, setiap parti yang ingin bekerjasama dalam gabungan perlu merasai jerih payah untuk mencapai sebuah kemenangan. Bak kata pepatah, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".


"Meskipun perkara ini masih di peringkat awal dan perlu melalui proses yang panjang oleh Majlis Presiden PH, AMK Negeri Kedah menaruh harapan tinggi atas kebijaksanaan dan ketelitian pimpinan PH untuk menentukan segala keputusan yang akan dicapai, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya generasi penerus negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page