top of page

Penyertaan Malaysia dalam BRICS bukti kepimpinan berani PM Anwar - Dr Nambiar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Sokongan China terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dianggap bukan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya membuktikan Malaysia mempunyai kepimpinan yang sesuai untuk mengorak langkah ke arah blok ekonomi dan geopolitik yang lebih meluas.


Ahli Ekonomi, Dr Shankaran Nambiar berkata, hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS bukanlah perkara baharu, sebaliknya sudah dizahirkan sejak beberapa tahun lalu, termasuk dengan menekankan konsep multipolariti dalam hubungan antarabangsa.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menemui Presiden Rusia, Vladimir Putin, Presiden China, Xi Jinping serta Perdana Menteri India, Narendra Modi.


"Mereka adalah pemimpin dunia yang menyokong idea sebuah dunia lebih bebas, yang tidak bergantung kepada satu kuasa besar semata-mata.


"Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar menggunakan kedudukan itu untuk memperkenalkan konsep dunia multipolar dan melihat penyertaan Malaysia dalam BRICS sebagai langkah penting.

 Dr Shankaran Nambiar. Foto: The Egde Malaysia
 Dr Shankaran Nambiar. Foto: The Egde Malaysia

"Jika tidak menyertai BRICS, Malaysia berisiko diketepikan dalam percaturan geopolitik baharu.


"Negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam turut menunjukkan minat, namun Anwar dilihat lebih berani memeluk idea ini walaupun negara lain masih ragu-ragu bagaimana Amerika Syarikat akan menilainya," kata Dr Nambiar kepada Suara Keadilan.


Tambah beliau, pendirian Anwar jelas bahawa Malaysia tidak mahu terikat dengan Amerika Syarikat atau China semata-mata sebaliknya memilih jalan yang lebih sesuai dengan kepentingan nasional.


Mengulas lanjut, Dr Nambiar menegaskan bahawa BRICS bukanlah sebuah pakatan untuk membentuk perjanjian perdagangan bebas atau menjatuhkan Amerika Syarikat tetapi lebih kepada kerjasama antara kerajaan.


"Tujuan BRICS adalah untuk memberi lebih banyak pilihan dalam struktur kewangan global.


"Mereka bukan sahaja membincangkan isu dedolarisasi tetapi juga perkara lain yang memberi kesan besar kepada Selatan Global, termasuk keterhubungan (connectivity), perubahan iklim dan sebagainya," ujar beliau.


Katanya lagi, BRICS kini mempunyai kira-kira 11 anggota dengan 10 negara lain sebagai rakan kerjasama manakala bagi negara-negara Selatan Global, BRICS dilihat sebagai platform untuk mencari satu suara bersama.


"Mereka mahu bersahabat dengan semua negara, berdagang dengan semua negara dan menarik pelaburan dari semua negara.


"Namun dalam masa sama, mereka menolak dominasi dunia yang hanya dikuasai oleh satu blok sahaja," tegas Dr Nambiar.


Baru-baru ini Malaysia menyertai Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin, China sebagai usaha memperdalam hubungan ASEAN-SCO dengan Malaysia memainkan peranan sebagai jambatan antara ASEAN dengan negara anggota SCO bagi meningkatkan kerjasama dalam perdagangan, ekonomi dan bidang lain yang mempunyai keuntungan bersama.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia' di Universiti Tianjin, universiti moden tertua di China.


Anwar dalam kenyataan memaklumkan Malaysia pada Sidang SCO turut membangkitkan usaha bagi menamatkan konflik di Gaza melalui pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly selain interaksi dengan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page