Penyelewengan era PM Mahiaddin: SPRM serbu 8 agensi
- Suara Keadilan
- Dec 16, 2022
- 1 min read

Lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Serbuan itu dibuat susulan siasatan dijalankan suruhanjaya itu atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Mahiaddin Yassin sebelum ini.
Sumber yang dipetik laporan portal FMT itu berkata, lapan agensi tersebut menerima “peruntukan besar” daripada pakej rangsangan yang diluluskan kerajaan pada 2020 dan 2021. Serbuan dibuat “untuk mendapatkan dokumen tertentu”.
Buat masa ini menurut sumber berkenaan, masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut dan siasatan masih “di peringkat pertama”.
“SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan,” kata sumber itu di petik.
SPRM sebelum ini mengakui sedang menyiasat dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 bernilai kira-kira RM530 bilion, namun siasatan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerana baki selebihnya bukan merupakan dana dari kerajaan.
Kementerian Kewangan menurut agensi anti-rasuah itu telah memperincikan butiran dana tersebut di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.
Susulan itu, SPRM dilaporkan bakal memanggil bekas PM Mahiaddin dan dua bekas Menteri untuk membantu siasatan.
Commenti