Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam agihan bantuan serta pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid 19 melanda negara harus disiasat sesegera mungkin.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, salah guna kuasa sewaktu negara menghadapi malapetaka amat tidak boleh diterima dan SPRM perlu membongkar jenayah tersebut sehingga ke akar umbi.
Katanya, sewaktu peruntukan kecemasan Covid 19 dibahaskan di Parlimen pihak Pakatan Harapan telah mengingatkan mengenai ketelusan, terutama dalam proses pemerolehan serta agihan. Namun hal tidak diingini itu tetap juga berlaku.
"Masa kes Covid 19 meningkat kita sudah sebut antara perkara penting sebelum kita luluskan bajet Covid mestilah ada ketelusan. Semak dan imbang untuk pastikan tak ada ketirisan dan penyelewengan.
"Sekarang jika benar apa yang didedahkan, maknanya ini seperti yang telah kita jangkakan.
"Jadi apa yang ditegur, diperingatkan, sekarang baru timbul. Semestinya pihak SPRM telus supaya sesiapa jua yang terlibat didedahkan dan diambil tindakan tegas," katanya.
Mengenai saranan pemimpin DAP agar SPRM mendedahkan pihak mana atau nama individu yang disiasat oleh SPRM, Syed Ibrahim menyokongnya.
Tegas beliau, hal itu perlu dilakukan memandangkan pihak terlibat mengambil kesempatan di atas penderitaan rakyat.
"DAP minta SPRM dedah nama yang disiasat kerana SPRM pernah dedah nama hakim yang mereka siasat.
"Kita mahu pendedahan ini (dilakukan) dan tidak mahu ia disenyapkan," katanya lagi.
Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan berlaku penipuan berkaitan pemerolehan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan (topeng muka, sarung tangan dan lain-lain) dari segi kuantiti dan kualiti peralatan yang dibekalkan lebih rendah daripada sepatutnya.
Beliau juga berkata, SPRM turut menyiasat aktiviti rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa dalam barisan pasukan penguat kuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Comentarios