Penyelesaian menyeluruh bantu mangsa kebakaran Bandar Tun Razak
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan akan mencari penyelesaian menyeluruh bagi memastikan penempatan penduduk yang terlibat dalam insiden kebakaran di Bandar Tun Razak baru-baru ini dipastikan selamat.
Ahli Parlimennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keadaan pada masa ini dilihat tidak selamat termasuk kedudukan struktur binaan rumah yang menyukarkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja pemadaman api dan menyelamat.
"Memandangkan kebakaran berlaku beberapa kali di lokasi sama kerajaan ingin melihat secara menyeluruh dengan akta baru kerana sebelum ini memerlukan persetujuan 100 peratus," katanya selepas Program Ziarah Madani dan majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran tersebut di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Wan Azizah berkata bagi meringankan beban tujuh mangsa kebakaran tersebut, pihaknya memberikan bantuan kewangan dan makanan selain berusaha menempatkan mereka di rumah pangsa milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Terdapat tujuh mangsa dan kita cuba cara mana hendak selesaikan masalah menyeluruh walaupun tempat tinggal mereka terjejas," katanya.
Jelas beliau bantuan tersebut melibatkan peruntukan daripada pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat
Dalam pada itu Azman menjelaskan bantuan yang diberikan itu melibatkan pemilik rumah yang menjadi mangsa kebakaran dan penyewa.
"Pemilik rumah yang menjadi mangsa kita beri lebih sedikit berbanding penyewa yang tidak perlu baiki rumah, mereka kita kita bantu dari segi barang dapur.
"Tuan rumah (bukan mangsa) kita tak boleh janji baiki tetapi memandangkan ada yang juga di bawah asnaf mungkin mereka boleh mohon bantuan bina semula dan sebahagiannya ada insuran..tetapi kita utamakan untuk beri kepada mangsa kebakaran," katanya.
Jelas Azman, pihaknya kini sedang dalam proses untuk mendapatkan rumah sewa DBKL dalam tempoh seminggu hingga dua minggu.
"Kita dapatkan dalam kawasan Bandar Tun Razak juga kerana kalau tidak susah anak sekolah. Rumah DBKL ini memang kosong untuk (kegunaan) mangsa bencana tapi ada yang kita perlu baiki dahulu sebelum mereka masuk," ujarnya.
Pada 5 Mei lalu laporan media menyebut seorang lelaki mengalami sesak nafas setelah terlibat dalam kebakaran melibatkan enam buah rumah di Lorong Mewah 3, Bandar Tun Razak.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.49 malam.
Seramai 43 anggota bersama empat buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dengan bantuan BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sungai Besi, BBP Cheras, BBP Sri Hartamas dan BBP Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Kanan, Mustafa Kamal Mohd Arih berkata kebakaran melibatkan enam buah rumah teres berkeluasan 1,400 kaki persegi.
Commentaires