Penyelesaian isu Felda perlu berlandas kepentingan peneroka, pekerja ladang
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
KEADILAN Terengganu menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Terengganu melanjutkan tempoh remedi berhubung notis pendudukan tanpa kebenaran yang dikeluarkan kepada FELDA dan FGV sehingga 7 Januari depan sambil menegaskan sebarang penyelesaian mesti mengutamakan kepentingan peneroka, pekerja ladang dan komuniti luar bandar.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata langkah itu membuka ruang kepada rundingan lebih matang, profesional dan berasaskan fakta tanpa tekanan politik atau tindakan tergesa-gesa hingga menjejaskan ribuan keluarga yang bergantung kepada sektor perladangan.
"Sebagai sebuah institusi yang telah lama menjadi tulang belakang ekonomi negeri dan sebahagian besar kehidupan masyarakat luar bandar, FELDA dan FGV tidak wajar dijadikan mangsa perbalahan pentadbiran atau tafsiran teknikal semata-mata.
"Sebarang penyelesaian mesti berlandaskan kepentingan rakyat yang terlibat secara langsung dalam sektor perladangan, khususnya komuniti peneroka dan pekerja ladang yang bergantung kepada pendapatan sektor ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap 10 ladang FELDA/FGV melibatkan lebih 15,000 hektar tanah selepas mendakwa operasi dijalankan tanpa hak milik dan kelulusan tanah yang lengkap.
Notis itu membuka ruang kepada tindakan sitaan aset dan tanah, namun Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu memutuskan untuk melanjutkan tempoh sehingga Januari depan selepas rundingan menunjukkan perkembangan positif serta bagi mengelakkan gangguan kepada operasi ladang, pendapatan peneroka dan kestabilan ekonomi setempat.
Aiman berkata penilaian semula perjanjian, rekod pembayaran, premium tanah, tanggungjawab kontrak dan aspek operasi perlu dilakukan secara teliti bagi mencapai penyelesaian jangka panjang yang adil.
Beliau berharap rundingan dapat diteruskan dalam suasana saling menghormati antara kerajaan negeri, FELDA dan FGV demi memastikan kestabilan sosial, kelangsungan ekonomi dan masa depan peneroka terus terpelihara.
"Penyelesaian yang baik bukan tentang siapa menang atau kalah tetapi tentang sejauh mana ia memastikan keadilan sosial, kestabilan ekonomi dan masa depan peneroka terus terjamin," katanya.








Comments