
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad (gambar, kanan) dari Pakatan Harapan (PH) sedia membantu Ahli Parlimen (MP) Hulu Selangor daripada Perikatan Nasional dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk setempat.
Menurut Saifuddin, beliau sentiasa mengetepi perbezaan fahaman politik demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk Batang Kali terjamin.
"Saya bukanlah orang yang layak bercakap tentang apa berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan, tetapi menarik perhatian saya adalah tentang kebajikan dan keperluan orang Batang Kali.
"Dengan peruntukan dan tempoh tugas masih berbaki kurang daripada dua bulan ini, saya berhasrat melihat semula mana permohonan yang dapat diselesaikan bersama," katanya.
Kenyataan itu mengulas rungutan Hasnizan Harun dari Perikatan Nasional (PN) di Facebook berikutan kesukarannya untuk menyalur bantuan kepada rakyat sejak dipilih ahli parlimen kawasan itu dalam pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Saifuddin berkata peruntukan sumbangan atau kerja baik pulih projek kecil yang mendesak masih ada dan boleh diselaras di peringkat pihaknya.
Namun tegasnya, semua peruntukan adalah tertakluk di bawah proses dan tatacara yang telah termaktub.
"Moga sahaja semangat bipartisan (rentas parti) ini memberi kebaikan buat penduduk Batang Kali khasnya dan memastikan suara mereka di atas jalur apapun terus dibela," katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Umum lalu Hasnizan Harun (PN/Pas) menang kerusi parlimen Hulu Selangor dengan majoriti undi 1562 mengalahkan calon Dr Sathia Prakash Nadarajan dari KEADILAN.
Comments