top of page

Penyedia laman media sosial langgar peraturan eKYC wajar dikenakan tindakan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 21, 2025
  • 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad


Penyedia platform media sosial yang gagal mematuhi pelaksanaan sistem electronic Know Your Customer (eKYC) bagi pengguna bawah umur 13 tahun perlu dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan peraturan itu tidak sekadar menjadi simbolik.


Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, langkah kerajaan menetapkan had umur minimum 13 tahun pada waktu ini untuk penggunaan media sosial disifatkan sebagai usaha penting melindungi remaja daripada terdedah terhadap buli siber, penipuan dalam talian dan kandungan tidak sesuai.


"Pendaftaran ini penting untuk tujuan pemantauan. Jika ada pengguna yang melanggar peraturan, penyedia laman patut diambil tindakan sewajarnya," kata Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal kepada Suara Keadilan.

Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal. Foto:Yadim
Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal. Foto:Yadim

Dalam pada itu, katanya, cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun disifatkan sebagai langkah tepat bagi melindungi golongan remaja daripada pengaruh negatif di alam siber.


Menurutnya, pengguna pada usia 13 tahun masih terlalu muda dan mudah terpengaruh dengan pelbagai kandungan di media sosial yang boleh memberi kesan buruk terhadap pemikiran serta tingkah laku mereka.


"Saya menyokong hasrat kerajaan mengehadkan umur ke 16 tahun untuk mengakses laman media sosial. Kanak-kanak berusia 13 tahun masih terlalu muda dan mudah terpengaruh dengan pelbagai perkara di laman sosial.


"Mereka mungkin tidak dapat membezakan maklumat yang benar atau tidak benar serta perkara negatif," katanya kepada Suara Keadilan.


Kementerian Komunikasi baru-baru ini bercadang menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun daripada 13 tahun, selain penguatkuasaan eKYC, sebagai kaedah pengesahan identiti secara atas talian sepertimana digunakan sektor perbankan dan sektor e-hailing.


Langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam siber serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuatkuasa.


Kementerian Komunikasi dipetik sebagai berkata, penguatkuasaan langkah itu terpakai ke atas platform media sosial melalui Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Keselamatan Dalam Talian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page