Isu penyatuan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dimainkan oleh pihak media ke tahap yang 'merapu' melibatkan pemimpin Bersatu, Azmin Ali dan Tun Mahathir Mohamad.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, penyatuan pembangkang sama ada dinamakan khemah besar atau sebagainya adalah usaha untuk mendapatkan kekuatan mengalahkan kerajaan BN - PN dan tidak pernah dicadangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN untuk berkerjasama dengan golongan pengkhianat Pakatan Harapan (PH).
"Setakat yang saya ingat mesyuarat MPP tidak pernah ada kata nak ambil Azmin, Tun Mahathir, ini mengarut. Tidak langsung pernah dibincangkan dan tidak pernah dicadangkan dalam mesyuarat. Itulah yang saya nampak bahawa ini serangan pihak musuh," katanya dalam siri forum Borak Dahsyat bertajuk: 'Apa Ada Dengan Khemah Besar," malam tadi.
Tegas Abdullah, kerjasama sesama pembangkang amat perlu dilakukan bagi menghadapi musuh bersama.
Strategi sedemikian rupa, katanya, telah digunakan oleh Umno dan Pas bagi menjatuhkan kerajaan PH pada tahun 2020 lalu.
"Kita perlu ingat ketika awal 2018 lalu, tiba tiba Umno dan Pas pakat wujudkan Muafakat Nasional (MN), ini khemah besar (versi mereka) macam mana nak tumbangkan PH.
"Kemudian Bersatu khiamat kepada kita. Bila berlaku pengkhianatan Bersatu (kerajaan PN terbentuk) maka MN tidak perlu kepada mereka.
"Khemah besar itu hanya berlaku bila mereka ada kepayahan. Begitu juga dengan kita, bila ada kepayahan bagaimana kita mahu memikirkan nak tumbangkan BN - PN. Maka kita kena raikan mana mana parti nak bersama kita untuk menyelamatkan negara," katanya.
Menurut Abdullah lagi, PH tidak boleh mengundang musuh sebaliknya lebih baik bergabung bagi mendapatkan majoriti secukupnya memenangi PRU 15.
"Kita ada 4 komponen, kemudian kita pelbagaikan lagi dengan kumpulan pembangkang yang nak bersama dalam reformasi kita bawa.
"Dalam PH misalnya dulu kita ada 3 parti, bila UPKO masuk maka benda itu berjalan (lebih baik).
"Siapa yang bersedia bersama kita dialukan. Jangan mengundang musuh," katanya lagi.
Comments