Penyasaran subsidi petrol RON 95 yang melibatkan penetapan kelompok T15 masih dikaji.
Hal itu dinyatakan dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pagi ini.
Menurut PM, subsidi perlu disasarkan kerana kerajaan menanggung sekitar RM20 bilion setahun dalam melaksanakan polisi subsidi pukal RON 95.
Bagaimanapun kategori kelompok T15 itu, kata Anwar, bukanlah yang berpendapatan sekitar RM13,000 sebulan sebagaimana yang ditularkan baru baru ini.
"Apabila dikaji T20, ada T20 peringkat bawah mungkin pendapatannya sedikit rendah dan dinaikkan (had T20 kepada T15).
"Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyasaran subsidi diesel, digunakan prinsip yang sama T15. Apa kuantum? Sedang dikaji kerana apa yang ditekankan oleh DOSM pendapatan sekitar RM13,000 mungkin terlalu rendah (untuk ditarik subsidi).
"Maka yang dibincang sekarang oleh Kementerian Ekonomi, Kewangan dan KPDN ialah untuk menaikkan sedikit (had golongan kaya) supaya tidak membebankan pendapatan seisi keluarga, tidak terikat dengan yang ada sekarang," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka)
Dalam pada itu Anwar membidas pembangkang yang terlalu membela golongan T15 sedangkan golongan berkenaan, kata beliau, merujuk kepada kelompok berpendapatan yang amat tinggi.
"Kita kaji pendapatan seisi rumah, kalau sekadar RM13,000 mungkin tidak termasuk dalam pendapatan lumayan.
"Tetapi kalau pertahan T15 maknanya pertahan semua, orang dapat RM100,000 sebulan, RM1 juta sebulan ada. Mengapa tak ada pendirian menyatakan wajar kita kenakan bayaran (harga penuh) kepada golongan teratas," katanya.
Mengenai cukai 2% bagi pemilik saham yang mendapat dividen RM100,000 ke atas, cukai berkenaan kata PM, hanya dikenakan kepada golongan yang mempunyai harta.
"Kiraan umum kalau dia ada RM100,000 pendapatan (dividen), jadi saham dia ada RM2 juta. Orang ada RM2 juta, bayarlah 2%.
"Dengan cara demikian kita ada percukaian progresif. Kalau dia ada RM2 juta saham dengan dividen RM100,000, bayar RM700 - RM800 setahun. Tak kan tak boleh bayar? Saham dia RM2 juta. Mustahil orang itu hanya ada keupayaan beli saham itu sahaja.
"Itu pertimbangan kita mengenakan sedikit bayaran kepada orang yang ada kekayaan dan ini termasuk syarikat tidak tersenarai.
"Tetapi PMKS biasa tidak kena. Hanya bila ada pegangan saham RM2 juta, baru bayar," katanya lagi.
留言