Penyasaran subsidi petrol: Guna MyKad perlu langkah tambahan
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik dan menyokong penuh langkah berani Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi petrol RON95.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Fadzli Roslan bagaimanapun berpandangan, beberapa perkara penting berhubung mekanisme pelaksanaan perlu diperincikan dan dimaklumkan secara lebih jelas kepada rakyat agar pelaksanaan dasar berjalan lancar, telus dan diterima baik semua pihak.
Beliau berkata antara cadangan utama yang perlu diberi perhatian adalah mekanisme penggunaan MyKad di stesen minyak.
Katanya, rakyat harus dimaklumkan lebih awal tentang cara penggunaan MyKad di pam minyak sama ada melalui kaedah sentuhan (touch) atau slot masuk (slot-in) supaya mereka bersedia dari segi teknikal dan praktikal.
"Penjelasan awal ini penting bagi memastikan kelancaran penggunaan sistem tanpa gangguan serta meningkatkan kefahaman rakyat di semua peringkat.
"Kedua tentang keselamatan data dan pencegahan penyalahgunaan. Pihak kerajaan disaran memperincikan langkah-langkah perlindungan keselamatan bagi mengelakkan penyalahgunaan MyKad termasuk risiko kecurian identiti dan penggunaan kad pihak ketiga.
"AMK mencadangkan agar sistem tambahan seperti pengesahan dua faktor (2FA), biometrik, atau pengesahan data masa sebenar (real-time) turut dipertimbangkan bagi melindungi integriti sistem dan hak rakyat.
"Seterusnya mengenai penguatkuasaan dan tindakan tegas.. kerajaan juga perlu menetapkan garis panduan serta hukuman yang tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang menyalahgunakan MyKad pihak lain bagi mendapatkan subsidi.
"Penyalahgunaan ini bukan sahaja mencemarkan objektif dasar malah merampas hak rakyat yang layak. Undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan tanpa kompromi," tegas beliau menerusi satu kenyataan.
Menurut Fadzli lagi, pihaknya menegaskan bahawa dasar penyasaran subsidi adalah langkah yang bertanggungjawab dalam mengurus kewangan negara dan memperkukuh jaringan perlindungan sosial.
Namun ujarnya, pelaksanaan yang efisien, telus dan selamat adalah kunci utama kejayaannya.
"Kami turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dalam memperluaskan maklumat dasar ini kepada generasi muda dan masyarakat akar umbi.
"Tahniah kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas iltizam politik yang tinggi dalam melaksanakan dasar yang berani dan berpaksikan kepentingan rakyat," katanya.
Hari ini kerajaan mengumumkan akan menjelaskan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad, dan dua peringkat harga.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan itu sedang diperhalus dan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.