top of page

Penyasaran subsidi mesti adil, telus, berdasarkan keperluan rakyat - AMK Bukit Mertajam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 11
  • 2 min read

ree

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Madani memperkukuh penyasaran subsidi sebagaimana yang digariskan dalam Belanjawan 2026, namun menegaskan bahawa pelaksanaannya mesti dilakukan dengan adil, telus dan berpaksikan keperluan rakyat.


Ketua AMK Bukit Mertajam, Abshar Nurasyraf Amram berkata, penyasaran subsidi yang tepat bukan sahaja mampu mengelakkan ketirisan dan meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan, tetapi juga memastikan dasar kebajikan negara kekal mampan serta inklusif untuk semua lapisan masyarakat.


"Langkah penyasaran subsidi yang tepat mampu mengelakkan ketirisan, meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan, dan dalam masa yang sama memastikan dasar kebajikan negara kekal mampan serta inklusif buat semua lapisan masyarakat, di samping mampu memberi penjimatan kira-kira RM15.5 bilion jika dilaksanakan secara efektif dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan.


Abshar Nurasyraf Amram
Abshar Nurasyraf Amram

Menurut beliau, langkah pembaharuan ini penting bagi memastikan setiap sen subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya kelompok B40 dan M40 bawah, sekali gus menjamin kelangsungan fiskal negara.


Namun, katanya, pelaksanaan dasar itu perlu diiringi dengan ketelusan, penerangan yang jelas serta sistem penyampaian yang efisien, khususnya buat golongan rentan di bawah.


"Rakyat mesti diyakinkan bahawa penyasaran subsidi bukan bertujuan untuk “mengurangkan beban kerajaan” semata-mata, tetapi bagi menambah baik kesejahteraan rakyat secara menyeluruh," katanya.


Selain itu, ujarnya, AMK Bukit Mertajam juga mengemukakan tiga cadangan bagi memastikan kejayaan dasar tersebut iaitu, Mekanisme penyasaran mesti telus dan inklusif – data penerima perlu dikemas kini secara berkala dengan ruang rayuan yang jelas, selain memperkukuh pangkalan data seperti PADU dan MyDigital ID bagi mengelakkan keciciran; Penyaluran bantuan perlu bersifat langsung – bantuan tunai terus ke akaun penerima tanpa orang tengah akan mengurangkan birokrasi dan memastikan ketelusan; dan penerangan dasar kepada rakyat mesti diperkemas – perubahan mekanisme subsidi perlu dijelaskan secara terbuka dan mudah difahami, terutama bagi masyarakat luar bandar.


AMK Bukit Mertajam, kata beliau, turut menyokong cadangan agar kerajaan membentangkan Kertas Putih Reformasi Sistem Bantuan Kebajikan dan Subsidi di Parlimen tahun depan bagi membolehkan wacana terbuka antara kerajaan, pembangkang, pakar ekonomi dan masyarakat.


"Sebagai barisan pelapis parti dan suara anak muda, kami menyeru agar reformasi fiskal negara dilaksanakan dengan berani tetapi berhati-hati, demi memastikan tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir dalam proses pembaharuan ekonomi negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page