top of page

Penyalahgunaan dadah sintetik: Negeri Pantai Timur paling tinggi - Saifuddin

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read

Negeri-negeri Pantai Timur dikenal pasti sebagai kawasan paling serius terjejas akibat penyalahgunaan dadah sintetik apabila bahan seperti syabu dan metamfetamin kini menjadi pilihan utama penagih berbanding ganja, heroin, ketum dan morfin.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, sebanyak 145,526 kes penyalahgunaan dadah direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 192,857 kes pada 2024, manakala 141,817 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.


"Dadah sintetik yang paling banyak disalahgunakan di negara kita sehingga merangkumi kira-kira 70% daripada keseluruhan kes penyalahgunaan dadah ialah dadah jenis ATS (Amphetamine-Type Stimulants).


"Apabila kita kumpulkan data (dadah sintetik) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan juga PUSPEN swasta, kemudian kita lakukan pemetaan, didapati keadaan paling serius adalah di negeri-negeri Pantai Timur.


"Maknanya, di jalur Pantai Timur penggunaan ganja, heroin, ketum dan morfin tidak lagi menjadi pilihan utama, sebaliknya mereka mencari ATS, syabu dan metamfetamin.


"Terbaharu, apabila pihak polis menjalankan operasi terhadap cecair vape, mereka menemui satu lagi bahan yang dikenali sebagai fentanyl. Ini lebih parah. Kesannya puluhan kali ganda lebih teruk daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong [PH-Kota Melaka] yang ingin tahu jumlah kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan sejak tahun 2023 hingga kini dan strategi Kerajaan menangani peningkatan penggunaan dadah sintetik termasuk ancaman fentanyl memandangkan AADK melaporkan 70% penagihan melibatkan dadah sintetik.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kerajaan telah mengambil langkah awal dengan memasukkan fentanyl ke dalam jadual di bawah Akta Dadah Berbahaya serta Jadual 1 ketika pindaan Akta Penagih Dadah dilaksanakan pada 2025.


"Apabila ia dimasukkan ke dalam jadual tersebut, tindakan penguatkuasaan boleh diambil apabila bahan itu ditemui.


"Untuk makluman Ahli Parlimen Kota Melaka, fentanyl ini belum mencapai tahap yang serius. Ia sudah ada, tetapi belum berada pada tahap yang membimbangkan berbanding dadah sintetik yang lain," jelas beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page