Penyahwartaan penuhi syarat kawasan gantian, pertimbangan rapi - Pengarah Perhutanan


Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dibuat oleh pihak Jabatan Perhutanan Selangor dengan penuh teliti.


Menurut Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, berdasarkan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2011), Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh menyahwarta kawasan hutan simpanan kekal sekiranya kawasan itu diperlukan bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan semasa dengan syarat melalui penyiasatan awam terlebih dahulu.


Katanya, berdasarkan Seksyen 12, Enakmen yang sama, hutan simpan kekal yang dinyahwarta perlu digantikan dengan kawasan yang hampir sama atau lebih baik dari segi ekologi dan keluasan.


"Secara keseluruhannya, cadangan penyahwartaan HSKLU ini telah melalui proses yang teliti oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam selaras dengan Kaedah-Kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014.


"Proses penyiasatan awam berlangsung selama lebih 1 tahun sejak keputusan berkenaan cadangan penyahwartaan HSKLU diterima pada November 2019.


"Kesemua bantahan yang diterima dikumpulkan dan diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor untuk pertimbangan lanjut. Hasil kajian pakar perunding iaitu UPM Consultancy & Services Sdn. Bhd. pada tahun 2020 juga digunakan dalam pertimbangan penyahwartaan HSKLU.


"Berdasarkan kajian perunding tersebut, didapati nilai biodiversiti HSKLU dan kawasan-kawasan gantian adalah hampir sama," kata kenyataan tersebut.


Pengarah Perhutanan Selangor juga menjelaskan, Kerajaan Negeri masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Mukim Tanjung Duabelas, Daerah Kuala Langat sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).


"Kawasan gantian bagi HSKLU yang dinyahwarta ini terdiri daripada jenis Hutan Paya Gambut di Mukim Sungai Panjang di mana sama jenis hutan dengan HSKLU.


"Manakala, kawasan gantian di Ampang Pechah dan Bukit Broga terdiri daripada jenis Hutan Bukit. Kawasan gantian Ampang Pechah mempunyai kepentingan koridor rangkaian ekologi hidupan liar dikenali sebagai Central Forest Spine (CFS) sepertimana ditetapkan di dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-3.


"Manakala, kawasan Bukit Broga mempunyai nilai-nilai ekopelancongan yang amat tinggi dan merupakan antara tarikan kawasan pendakian utama di Selangor," katanya.


Jabatan Perhutanan turut menerima baik tindakan Kerajaan Negeri meluluskan sebahagian kawasan untuk penggantian baki Rizab Orang Asli Busut Baru seluas 42.1 hektar atau 103.9081 ekar di bawah Seksyen 7, Akta Orang Asli 1954.


Justeru itu, isu tuntutan perizaban kawasan Orang Asli Busut Baru seluas 1,000 ekar sebagai penggantian kawasan disebabkan pembinaan KLIA sejak tahun 2006 telah diselesaikan.


HSKLU juga, kata Jabatan Perhutanan Selangor merupakan hutan yang telah terpisah (isolated) daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu di sekelilingnya seperti lebuhraya ELITE, Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove.


Menurut Pengarah Perhutanan lagi, HSKLU telah diklasifikasikan sebagai kawasan yang berisiko tinggi untuk terbakar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada tahun 2016 dan mengalami kemerosotan (degradation) akibat beberapa kali terbakar pada tahun 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.


"Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengenakan beberapa syarat kepada pemaju yang diberi kawasan nyahwarta HSKLU pada tahun 2021.


"Antaranya keperluan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA), dan lain-lain syarat yang berkaitan termasuklah pengekalan sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesis-spesis flora dan fauna yang berkepentingan," katanya lagi.


Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil kira kesemua aspek (due diligence) dalam membuat keputusan yang terbaik berkaitan penyahwartaan HSKLU.


Keputusan tersebut selaras dengan matlamat pembangunan negeri ke arah kestabilan sosio ekonomi, dinamik, mampan dan lestari.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER