Penurunan harga diesel beri manfaat sektor perniagaan, kontraktor kecil
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 1 min read

Keputusan Kerajaan MADANI menurunkan harga diesel bersubsidi membuktikan hasil reformasi ekonomi kini diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, termasuk warga Kajang yang bergantung kepada sektor perniagaan dan pengangkutan untuk menjana pendapatan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, penurunan harga bahan api itu sememangnya memberikan kesan positif kepada ramai pengusaha perniagaan kecil, kontraktor, syarikat logistik, pembekal makanan, peniaga pasar dan sektor perkhidmatan di kawasan diwakilinya.
"Apabila kos operasi dapat dikurangkan, tekanan terhadap harga barangan dan perkhidmatan juga dapat dikawal dengan lebih baik.
"Lebih penting, dasar ini menunjukkan bahawa reformasi yang dilaksanakan kerajaan bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya memastikan wang negara digunakan secara lebih cekap supaya bantuan dan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Saya percaya langkah ini akan lebih membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan daya tahan ekonomi negara serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut David Cheong lagi, langkah penurunan harga diesel itu juga amat signifikan kerana buat julung kalinya rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menikmati harga bersubsidi yang sama.
Pendekatan tersebut ujarnya, menggambarkan prinsip keadilan sosial serta semangat perpaduan nasional yang menyaksikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang setara tanpa mengira lokasi mereka.
"Saya amat menyokong keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan berkuat kuasa mulai Julai ini," kata David Cheong yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor.




Comments