Penuhi harapan "Urang Sabah", PH perlu sokongan kuat - Nurul Izzah
- Suara Keadilan

- 26 minutes ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan yang lebih kuat daripada rakyat Sabah sendiri untuk memastikan perjuangan menegakkan hak mereka benar-benar tertunai.
Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar berkata, sebelum ini terdapat parti lantang melaungkan slogan “Sabah Ubah” sepanjang 26 bulan memerintah namun rakyat tidak merasai sebarang perubahan.
"Rizab kewangan negeri menurun, ekonomi merosot hampir 10 peratus, dan janji untuk menyelesaikan krisis air dalam tempoh setahun juga gagal ditunaikan.
"Semua itu hanyalah janji kosong dan retorik politik semata-mata.
"Kali ini, kita pastikan kemajuan benar-benar sampai kepada setiap lapisan rakyat, InsyaAllah," kata beliau yang giat turun padang ke negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) ke-17 Sabah pada hujung bulan ini.
Nurul Izzah berkata, pihaknya percaya bahawa Sabah berhak menerima yang terbaik sebagai sebuah negeri yang bermaruah dan berdaulat.
Tegas beliau, KEADILAN memberikan komitmen untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus diperjuangkan sekiranya diberikan mandat dalam pilihanraya akan datang.
Menurut beliau, hasil perbincangan bersama rakan-rakan kerjasama, KEADILAN diberi amanah untuk bertanding di 10 kerusi di negeri itu, sebagai usaha memastikan segala agenda pembangunan dan hak rakyat Sabah dapat dilaksanakan.
"Seperti mana amanat Perdana Menteri Anwar, kami akan terus berusaha dengan penuh keazaman untuk bekerja dan mendengar suara rakyat di Sabah," katanya dipetik.
Beliau turut menekankan bahawa sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran pada 2022, usaha memperjuangkan pelaksanaan MA63 telah dipertingkat, dipercepat dan digerakkan dengan lebih serius.
Dalam tempoh tiga tahun pentadbiran, kerajaan berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan utama, sesuatu yang gagal direalisasikan oleh pentadbiran sebelum ini, katanya.
"Langkah-langkah yang sebelum ini tidak pernah diambil, kini telah pun dilaksanakan. Namun, usaha ini belum selesai; kita baru tiba ke pertengahan jalan. Jangan patahkan usaha ini. Jangan biarkan perjuangan ini terhenti separuh jalan," tegas beliau.
Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa jika Kerajaan MADANI tidak lagi diberi mandat untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan Sabah, segala usaha yang telah dibina selama tiga tahun ini akan kembali ke titik permulaan.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan untuk Sabah bukan sekadar retorik politik, tetapi merupakan kesinambungan usaha membela hak rakyat serta memantapkan pelaksanaan MA63 yang menjadi aspirasi rakyat Sabah sejak sekian lama.
"Dengan semangat itu, kami akan terus berusaha sedaya upaya, demi kemajuan Negeri di Bawah Bayu.
"Inilah komitmen KEADILAN untuk Sabah, komitmen yang dibuktikan melalui kerja dan kesungguhan, bukan sekadar kata-kata.
"Bak kata pepatah orang Kadazan, “Osusa Toi Asanang Tomoimo Miiso” - “Susah atau senang, suka atau duka, kita tetap bersama," kata Nurul Izzah.









Comments