Penubuhan Penggerak Komuniti tidak sah di sisi undang-undang - William Leong



Tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) tidak selari dengan undang-undang negara dan tidak wajar mendapat pembiayaan Kerajaan Persekutuan.


Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata, menteri KPKT Zuraida Kamarudin sepatutnya faham peranan dan fungsi KPKT sebagai penyelaras supaya setiap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ada undang-undang yang sama, bukannya melangkaui kuasa negeri.


Katanya, KPKT tidak wajar campur tangan dalam urusan pentadbiran PBT dengan menubuhkan pasukan PeKT.


"KPKT mengikut undang-undang adalah satu penyelaras supaya setiap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan ada undang-undang, peruntukan dan peraturan yang sama.


"Tetapi keputuan bagaimana wang akan disalurkan kepada PBT digunakan, itu terpulang kepada kerajaan negeri yang dilantik oleh pengundi dan kepada PBT, di mana Ahli Majlis telah dilantik oleh pihak Kerajaan Negeri.


"Apa jadi dalam Belanjawan 2021 ini ialah KPKT melantik individu tertentu dan mereka diberikan peruntukan untuk melakukan apa yang mereka mahu.


"Pada saya ini tidak mengikut Perlembagaan dan mengikut undang-undang sedia ada," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.


Berhubung alasan yang diberikan oleh menteri KPKT di Parlimen bahawa anggota Penggerak masih belum dilantik, hanya watikah dikeluarkan, William bertanya apakah perbezaan antara lantikan dan watikah?


"Menteri menjawab bahawa lantikan belum dibuat, hanya surat watikah dikeluarkan. Saya tidak tidak tahu apa perbezaannya?


"Tetapi nampaknya 110 Ahli Parlimen Kerajaan nampaknya mereka tahu perbezaan yang saya tak tahu. Apa perbezaan tidak dilantik tetapi surat watikah dikeluarkan?" sinis beliau.


Dalam Belanjawan 2021 KPKT memperuntukkan bajet sekitar RM8.6 juta untuk operasi PeKT. Pihak pembangkang mahu ianya dikurangkan, bagaimanapun akhirnya undian meluluskan peruntukan tersebut.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio