Penubuhan Majlis Media direalisasikan dalam tempoh terdekat
- Suara Keadilan

- Jul 2
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Komunikasi menjangkakan usaha menyediakan dana bagi memulakan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sebelum ini turut mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan ahli Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) berhubung isu penubuhan majlis berkenaan.
''Insya-Allah kita akan susuli dengan pertemuan fizikal (nanti) memandangkan ada dalam kalangan wakil yang bukan berada di Lembah Klang.
''Maka kita akan mencari masa yang sesuai untuk menjemput mereka semua,'' katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini penubuhan MMM serta pertemuan bersama Ahli Lembaga Pengasas badan berkenaan.
MMM ditubuhkan antaranya berfungsi untuk mengawal selia dan memantau etika kewartawanan sekali gus memastikan amalan kewartawanan yang beretika, bertanggungjawab dan profesional dalam kalangan pengamal media, selaras dengan prinsip kebebasan media yang berlandaskan undang-undang dan moral.
Selain itu, MMM juga berperanan melindungi kepentingan pengamal media, menyediakan saluran penyelesaian aduan, meningkatkan tahap profesionalisme industri media dan menyokong kebebasan media yang bertanggungjawab.









Comments