
Manifesto Tawaran HARAPAN perlu diketahui oleh rakyat agar mereka mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dokumen berkenaan adalah ramuan penting yang perlu ditelaah dan difahami oleh rakyat sebelum mereka membuang undi.
"Bagi pihak sekretariat saya rakamkan penghargaan dalam usaha membuat manifesto ini kepada pihak Adly dan rakan rakan. Juga kepada pimpinan utama PH yang meneliti satu persatu idea yang kemudiannya dipersetujui untuk kita kemukakan sebagai tawaran.
"Kita tinggal 72 jam sebelum memasuki fasa penamaan calon. Program mobilisasi yang dilakukan telah mencapai sasaran yang membanggakan. Hampir seluruh negara dari Perlis sampai ke Sabah, kita tengok keghairahan rakyat menghargai penerangan kita.
"Bagaimana keterujaan rakyat meningkat bila kita berikan gagasan kepimpinan yang compact dan intact. Itu penting kerana ia akan menggamit keyakinan rakyat," katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran manifesto PH pagi tadi.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung KEADILAN memuji kempen yang digerakkan oleh pemimpin PH yang telah berjaya menunjukkan keyakinan yang tinggi menyampaikan mesej kemenangan kepada rakyat dalam beberapa minggu terakhir
"Kalau semua telah kita sempurnakan, ada satu saja lagi perlu diingatkan pantang larangnya. Iaitu tidak terjebak dalam melakukan kesalahan dalam tempoh sekarang sehingga tempoh mengundi.
"Kesilapan akan menjadi bola tanggung dan kita diserang lalu difensif," katanya.
Beliau berharap selepas dokumen manifesto disebarkan maka kempen akan ditingkatkan lagi bagi mendapatkan keyakinan mutlak rakyat dalam tekad membuat perubahan pada PRU ke 15