Pentarama Homecoming: Suntik patriotisme di kalangan pelajar
- Suara Keadilan
- Aug 8
- 1 min read

Program pentas bercorak hiburan berteraskan patriotisme, Pentarama Homecoming anjuran Jabatan Penerangan bakal menjelajah ke lebih 80 sekolah seluruh negara, sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, program membabitkan persembahan pentas melalui nyanyian, tarian dan drama itu bertujuan menyemarakkan lagi semangat cinta di kalangan pelajar kepada negara.
"Ini pendekatan yang kita ambil sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Kita mahu semangat patriotik ini disemai sejak dari bangku sekolah lagi
"Mereka akan bawa mesej kenegaraan, prinsip-prinsip rukun negara, di samping memberi sedikit hiburan dan informasi secara santai tetapi berkesan," katanya dipetik.
Fahmi berkata begitu pada majlis pelancaran Pentarama Homecoming di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar di Kuala Lumpur pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan.
Sementara itu, sebagai mengulas lanjut mengenai persiapan Ambang Merdeka tahun ini, Fahmi berkata, acara akan diadakan di Putrajaya, Kuala Lumpur serta beberapa lokasi lain dengan pengisian menarik untuk seisi keluarga.
Comments