top of page

Pentadbiran tiga tahun PMX berjaya harumkan imej Malaysia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 27
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Genap tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara membuktikan kestabilan politik bukan sekadar slogan, tetapi asas sebenar kepada reformasi ekonomi dan kebangkitan semula martabat Malaysia di mata dunia.


Mantan Ahli Lembaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Andre Lai Chen Heng berkata, di bawah kerangka Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, Ihsan, tumpuan utama kerajaan telah berjaya menghasilkan lonjakan berganda kesuksesan mentadbir negara yang diiktiraf dunia.


Beliau menyifatkan, kejayaan paling ketara dalam tempoh 2022 hingga 2025 adalah perubahan naratif Malaysia di peringkat global yang mana PM Anwar telah mengukuhkan imej sebagai negara berkecuali yang berprinsip dan stabil.


"Di arena global, Malaysia kini memainkan peranan yang lebih tegas sebagai 'Broker Moral' Global Selatan. Buktinya, Malaysia lantang bersuara dalam isu kemanusiaan sejagat, terutamanya perjuangan rakyat Palestin, di samping mengetengahkan isu negara-negara membangun dan aktif dalam dialog keamanan serantau.


"Kestabilan politik yang dicapai telah membawa kepada peningkatan signifikan kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025.

 Andre Lai Chen Heng
 Andre Lai Chen Heng

"Selain itu, komitmen terhadap reformasi tadbir urus dan ekonomi telah menyebabkan jumlah pelaburan asing langsung (FDI) yang diluluskan mencecah paras tertinggi dalam sejarah, menandakan keyakinan tinggi pelabur terhadap dasar fiskal kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Andre Lai lagi, di pentas domestik pula, Kerajaan MADANI telah memberikan tumpuan utama kepada pemerkasaan jaringan keselamatan sosial.


Ujarnya, pemerkasaan melalui inisiatif Payung Rahmah telah berjaya mengatasi isu kos sara hidup. Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperkukuh dan diperluas kepada 5.4 juta penerima, dengan bantuan tahunan yang turut ditingkatkan.


"Dalam aspek tadbir urus, kerajaan juga telah memperlihatkan komitmen tanpa kompromi terhadap ketelusan. Usaha ini diperkukuh dengan langkah reformasi hukum seperti pindaan Akta Insolvensi 1967, yang telah berjaya menyelamatkan kira-kira 130,000 rakyat daripada terus muflis, sekaligus memberi mereka peluang ekonomi kedua.


"Pengurusan kewangan berhemat juga telah berjaya menurunkan kadar defisit fiskal negara secara konsisten."


Justeru, beliau menjangkakan baki dua tahun pemerintahan PM Anwar akan membawa lebih banyak manfaat dan pembaharuan kepada rakyat.


Katanya, kerajaan di bawah kepimpinan PMX dijangka terus memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan, di mana setiap dasar dipacu oleh nilai ihsan dan keyakinan terhadap masa depan negara.


"Pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar seperti Budi Madani RON95 (BUDI95), dan usaha memperkasakan Perkhidmatan Awam akan diteruskan.


"Rakyat menaruh harapan tinggi agar Datuk Seri Anwar terus menerajui Malaysia sehingga penggal seterusnya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), bagi merealisasikan cita-cita negara untuk menjadi antara 30 ekonomi utama dunia," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page