
Malaysia yang menyatu pada tanggal 16 September 1963 dipertahankan sehingga ke hari ini melalui formula saling bertolak ansur dan harmoni dalam negara Persekutuan.
Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, rakyat Malaysia seharusnya menginsafi selain sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, sambutan Hari Malaysia pada 16 September amat penting untuk menyatupadukan rakyat majmuk pelbagai kaum di negara ini.
"Meski sentiasa ada pelbagai cabaran yang mengocak keharmonian, adalah penting setiap dari kita menyematkan dalam diri masing-masing untuk sentiasa menjaga perpaduan sesama anggota masyarakat.
"Dalam apa jua urusan seharian - bersama keluarga, dengan kawan-kawan, di tempat kerja, sesama jiran, ketika berpersatuan, dalam berpolitik dan sebagainya - yang terpenting dan paling membahagiakan sekali ialah bila ada keharmonian, perpaduan dan saling memahami yang erat terjalin.
"Tanpa tiga elemen itu, apa pun yang hendak dilakukan akan mendatangkan kesengsaraan akhirnya," kata Noraini dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat menyeru rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan.
Katanya, Malaysia telah berada di landasan yang betul di bawah Perdana Menteri ke sepuluh (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, katanya, jangan ada sebarang unsur yang boleh memecah perpaduan dengan memainkan sentimen politik perkauman dan agama sempit.
"Malaysia yang diterajui PM ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah cantik di landasan kesejahteraan serta keharmonian.
"Usahlah ada yang menjadi 'kerengga' parasit yang merosakkan perpaduan negara yang kita sayangi ini," katanya.
Tambah Noraini, sempena ulangtahun Hari Malaysia ke 60, rakyat perlu memupuk semangat keharmonian, perpaduan dan saling memahami yang berterusan selagi hayat di kandung badan dalam semua urusan.
Comentários