Penswastaan MAHB diterajui firma tempatan, tidak jual aset kepada orang asing
- Suara Keadilan
- Jan 31
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan kononnya Kerajaan Madani sewenang wenangnya menjual aset negara kepada orang asing dalam isu penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terbukti meleset apabila pegangan saham konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang dimiliki syarikat tempatan bertambah tinggi.
Sehubungan itu Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menasihatkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal agar tidak lagi memainkan isu penswastaan aset MAHB kepada kepentingan asing.
Katanya, setakat 24 Januari 2025, konsortium GDA yang diterajui Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menguasai sehingga 92.82 peratus saham MAHB.
"Ini termasuk pegangan 40.85 peratus oleh GDA sebelum tawaran dibuat pada 6 Disember 2024. Ini bermaksud hampir 88 peratus pemegang saham MAHB (saham yang tidak dimiliki GDA pada 6 Disember) telah bersetuju untuk menjual unit saham mereka kepada GDA.
"Hakikatnya, penswastaan MAHB tidak melibatkan penjualan aset negara kepada orang asing, seperti yang dimomok-momokkan oleh Wan Fayhsal dan Perikatan Nasional (PN).
"Perlu diingat, kesemua 39 lapangan terbang bawah MAHB tidak pernah dimiliki oleh syarikat tersebut, sebaliknya dimiliki oleh kerajaan Malaysia. MAHB hanyalah diberi kuasa sebagai operator (pengendali)," katanya menerusi satu kenyataan.
Faiz menjelaskan, selepas penswastaan MAHB, ia akan dimiliki oleh GDA yang mana 70 peratus pegangan sahamnya dimiliki oleh Kerajaan Malaysia.
"Tambahan kerajaan Malaysia akan memiliki 'golden share' dalam MAHB dan ini bermaksud sebarang keputusan berkaitan MAHB boleh diveto oleh kerajaan.
"Justeru, tidak timbul soal penguasaan orang asing sama sekali. Wan Fayhsal perlu menghentikan serangannya berkaitan penswastaan MAHB.
"Ini kerana inisiatif Kerajaan MADANI ini telah dipersetujui oleh hampir kesemua pemegang saham MAHB.
"Ini juga menunjukkan pemegang saham tersebut percaya bahawa penswastaan ini penting bagi membantu MAHB memperbaiki prestasi operasinya," ujar Faiz lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pemain pasaran modal Malaysia dan para pemegang saham MAHB yang tidak termakan hujah serangan pihak pembangkang PN.
Sebaliknya Faiz berkata, PN perlu membuang agenda 'anti-development' demi kepentingan negara dan rakyat.
Comments