Penjenamaan semula TH: Dilakukan berdasarkan kepakaran syarikat - Dr Naim
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tan Sri Abdul Rashid Hussain, selaku Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), dikenali sebagai individu yang memiliki pengalaman dalam aspek penjenamaan semula sebagaimana dibuktikan melalui penglibatannya dalam pengurusan dan penjenamaan Rashid Hussain Bank (RHB) sebelum ini.
Itu jawapan diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (gambar) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berkaitan isu syarikat konsortium bagi penjenamaan semula insititusi tersebut yang didakwa melibatkan juga syarikat dimiliki bukan muslim.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji bahawa syarikat yang terlibat dalam konsortium mempunyai pengalaman dan kepakaran masing-masing.
''Jadi atas dasar tersebut, maka dilantik syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran tersendiri untuk mengendalikan usaha penjenamaan semula.
''Sukacita dimaklumkan (Tan Sri Abdul Rashid) ini memang terkenal dalam bidang penjenamaan semula. Ketika beliau di RHB dahulu, banyak usaha-usaha penjenamaan semula yang telah beliau lakukan melibatkan bank itu.
''Atas dasar tersebut, apabila penjelasan dan pencerahan itu diberikan oleh (Tan Sri Abdul Rashid), maka saya yakin usaha dan pelantikan konsortium tersebut, InsyaAllah (ia) akan memberikan kebaikan kepada pendeposit TH dan memastikan institusi TH akan mendapat manfaat daripada usaha penjenamaan semula,'' katanya yang sebelum itu menjelaskan TH dalam perjalanan pengurusannya dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa), yang mempersoalkan berhubung pelantikan syarikat bukan Islam bagi melaksanakan penjenamaan semula imej strategik entiti Islam seperti TH.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pelantikan tersebut merupakan suatu keperluan khusus yang tidak dapat dipenuhi oleh syarikat-syarikat Islam lain.