
Kekalahan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru baru ini meski pun belum ada pihak yang mengeluarkan kajian secara khusus, namun boleh dirumus akibat kekurangan pengundi muda penyokong Pakatan Harapan (PH) keluar mengundi.
Dapatan awal menunjukkan pengundi BN dalam PRN Melaka misalnya mengekalkan momentum yang sama sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 tetapi pengundi PH di saluran 4 dan 5 tidak teruja membuang undi.
Bagi pengerusi pertubuhan Generasi KEADILAN, Yusmadi Yusoff, ketidakterujaan anak muda itu berbanding PRU sebelumnya perlu dibuat kajian mendalam untuk dikenalpasti apakah puncanya.
"Pada saya kenapa generasi muda dilihat kurang (teruja) walaupun tidak ada laporan secara rasmi, perlu dianggap sebagai satu cabaran untuk (penyesuaian) perjuangan KEADILAN mendekati anak muda.
"Pertama KEADILAN telah melalui proses pembangunan (parti) selama lebih 20 tahun. Jadi mana mana parti berada di tahap yang sama, sepatutnya telah mengadakan penjenamaan semula.
"Kita lihat contoh Free Democratic Party (FDP) di Jerman. FDP pada 2013 mengalami kekalahan yang sangat teruk dan ketika itu pihak pendukung parti yang senior tidak menaruh harapan lagi kepada FDP. Tetapi seorang pemimpin muda Christian Lindner sekarang ini menjadi Menteri Kewangan, yang ketika itu berumur hujung 30an, telah membuat keputusan berani menjenamakan semula parti
"Bukan sahaja dari aspek menilai semula isu yang relevan dengan keadaan semasa, malah beliau juga pergi lebih jauh kepada perkara estetika, komunikasi dan sebagainya. Beliau menetapkan fokus untuk menarik perhatian golongan muda dan wanita.
"Kebetulan saya sendiri di Jerman (ketika itu dan) mendengar sendiri penjelasan FDP bagaimana mereka melakukan perkara tersebut. Mereka turut mengambil bantuan profesional (dalam penjenamaan semula)," kata Yusmadi kepada Suara Keadilan.
Beliau yang baru baru ini dilantik sebagai penyelia pasukan undang undang pejabat Presiden KEADILAN berkata, prasyarat utama untuk melakukan perubahan adalah komitmen dan tekad seluruh pimpinan untuk berubah.
Tambah Yusmadi, FDP pernah melakukan kesilapan dengan membuat keputusan untuk bersama gabungan pemerintah yang telah merobah karektor dan idealisme perjuangan parti berkenaan.
Di mana, katanya, parti reform dan berjuang untuk kebebasan telah secara tidak langsung menghilangkan karektor utama sehingga ditolak oleh para penyokong yang rata rata pejuang kebebasan dan reformis.
Atas pengajaran tersebut FDP melakukan perubahan dan mengembalikan prinsip perjuangan bagi meraih semula keyakinan rakyat di samping menggunakan teknologi terbaharu mendekati pengundi.
"Pada masa sama, FDP memastikan perjuangan parti itu menggunakan pendekatan terkini dari segi teknologi dan sebagainya.
"FDP walaupun parti kecil (sebelumnya, hari ini ia) telah menjadi strategic leading party di dalam kerajaan baru Jerman," ujar mantan Ahli Parlimen Balik Pulau itu.
Bagaimanapun, menurut Yusmadi, apa yang dialami KEADILAN dalam dua PRN baru baru ini bukanlah arus penolakan generasi muda tetapi parti itu perlu membina lebih banyak jambatan untuk menghubungkannya dengan anak muda.
Katanya, perlu wujud banyak program untuk mendengar keresahan anak muda dan mengambil pendirian bersama mereka.
"Permasalahan atau apa yang anak muda tidak suka masih berlarutan, contohnya masalah internet (di Melaka). Anak muda sendiri mahu isu ketersambungan diperbetulkan. Anak muda juga tidak suka rasuah.
"Di sini bukan isu anak muda menolak perjuangan KEADILAN, isunya terdapat perkara baru yang berlaku di Melaka, ruang demokrasi ditutup sehinggakan maklumat yang sepatutnya sampai tidak sampai.
"Kita juga perlu akur dengan suasana kempen norma baharu dan tidak pernah dialami oleh KEADILAN walau sudah 20 tahun berkempen.
"Bagi saya kita kena ambil pengajaran daripada kekalahan itu, kita kena terima dan perkara itu tidak susah dibuat, dengan syarat kita mahu melakukan perubahan," katanya lagi.
Namun sebagai orang lama dalam perjuangan, Yusmadi mengimbau kebangkitan KEADILAN pada PRU 2008 selepas kalah teruk dalam PRU 2004 sebagai perbandingan.
Katanya, reformis muda tidak harus lupa KEADILAN pernah membuat kejutan merampas Selangor dan Pakatan Rakyat ketika itu berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan selepas kalah banyak pilihan raya kecil beberapa tahun sebelumnya.
Untuk menuju PRU 15, tegas beliau, perubahan cara menangani isu dan penjenamaan semula yang betul akan mengembalikan KEADILAN ke landasan kemenangan.