top of page

Penjenamaan semula Jabatan Pertahanan AS cetus ketegangan global - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 8
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memberi amaran keras bahawa keputusan Amerika Syarikat (AS) menukar nama Jabatan Pertahanannya kepada “Jabatan Perang” membawa implikasi serius terhadap kestabilan antarabangsa serta kebajikan kemanusiaan.


Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu bukan sekadar simbolik malah mencerminkan orientasi strategik yang semakin menjadikan kekuatan ketenteraan sebagai instrumen utama dalam menyelesaikan pertikaian antarabangsa.


"Ini bukan soal nama semata-mata, tetapi menggambarkan hala tuju yang menjadikan perang sebagai pilihan utama berbanding diplomasi dan dialog," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Azmi menegaskan bahawa pendekatan tersebut dan kajian konflik terbukti hanya akan mempercepatkan ketidakstabilan global serta mengundang penderitaan besar kepada penduduk awam.


"Apabila diplomasi diketepikan, maka yang menjadi mangsa pertama adalah rakyat biasa iaitu kanak-kanak, wanita dan komuniti yang sudah sedia terpinggir," ujarnya.


MAPIM berpandangan dasar yang mengutamakan operasi ketenteraan akan menambahkan lagi krisis kemanusiaan dengan masyarakat awam menjadi mangsa sekatan, serangan udara dan campur tangan kuasa luar.


Azmi turut memberi amaran bahawa langkah unilateral sebegitu akan melemahkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mekanisme antarabangsa lain yang berfungsi sebagai pengantara konflik.


"Apabila kuasa besar bertindak secara bersendirian, badan dunia seperti PBB akan hilang kredibiliti dan tidak lagi mampu menjadi pengimbang kepada percaturan kuasa," katanya.


Menurut beliau lagi, pendekatan agresif juga akan menggalakkan perlumbaan senjata baharu apabila negara-negara pesaing terdorong memperluaskan persenjataan masing-masing, sekali gus meningkatkan risiko konfrontasi besar sama ada secara sengaja atau tidak.


Sehubungan itu, MAPIM menggesa AS menilai semula haluan dasar tersebut dan menegaskan bahawa keamanan sejagat hanya boleh dicapai melalui dasar yang beretika, berpaksikan undang-undang antarabangsa serta mengutamakan perlindungan terhadap golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak dan pelarian.


"Kuasa tentera hanya wajar digunakan sebagai jalan terakhir. Dunia memerlukan kepimpinan berteraskan keadilan dan belas ihsan, bukan keangkuhan senjata," tegas Azmi.


Justeru, MAPIM turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya terus berwaspada dan memperkukuh kerjasama bagi mengekang orientasi ketenteraan itu dengan mengutamakan undang-undang kemanusiaan dan usaha mencari penyelesaian secara aman.


"Jika dunia gagal menyeimbangi haluan ini, kita berdepan risiko kitaran keganasan yang lebih mendalam, ketidakstabilan serantau yang berpanjangan serta penderitaan manusia yang boleh dicegah pada skala yang tidak pernah disaksikan sebelum ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page