top of page

Penjajaran politik di NS: PH pegang prinsip dahulukan kepentingan rakyat - Mat Sabu

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Jul 21
2 min read
DS Mohamad (kanan) mahu rakyat khususnya di NS sedar dasar PH mengutamakan rakyat. Foto: FB Mat Sabu
DS Mohamad (kanan) mahu rakyat khususnya di NS sedar dasar PH mengutamakan rakyat. Foto: FB Mat Sabu

Pakatan Harapan (PH) akan terus bekerja di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa komited memartabatkan Islam dan membela orang Melayu di tengah-tengah kemungkinan perubahan landskap politik apabila Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan Pas.


Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, PH tidak akan panik berdepan sebarang perubahan politik, sebaliknya akan terus berpegang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat dan negara berbanding kepentingan parti atau individu.


"Bang Mat tidak menafikan bahawa jika BN dan PN bergabung, landskap politik boleh berubah. Itu satu hakikat yang perlu kita terima dengan tenang.


"Kita tidak perlu panik, sebaliknya bersedia menghadapinya dengan matang. BN dan PN mempunyai pendekatan mereka dan itu hak mereka.


"AMANAH dan PH pula akan teruskan dengan pendekatan kita yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara daripada kepentingan parti dan peribadi," katanya menerusi hantaran di media sosial merujuk penjajaran baharu dilakukan BN dan Pas di Negeri Sembilan.


Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, sejarah membuktikan hubungan antara Pas dan Umno bukanlah sesuatu yang baharu kerana kedua-dua parti itu pernah bekerjasama dan juga pernah berpisah sebelum ini.


Menurut beliau, jika kedua-dua parti itu memilih untuk kembali bersama, rakyat boleh menilai sendiri sejauh mana kerjasama berkenaan mampu bertahan.


"Sejarah juga banyak mengajar kita. Pas dan Umno bukan baru menjalin hubungan. Mereka pernah bersama dan pernah berpisah. Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan," katanya.


Dalam masa sama, Mohamad menegaskan kerajaan di bawah pimpinan Anwar akan terus mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu serta hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Beliau berkata, pendekatan Kerajaan MADANI bukan berasaskan politik ketakutan atau sentimen perkauman, sebaliknya melalui dasar yang membawa manfaat nyata kepada agama, bangsa dan negara.


"Bagi AMANAH dan PH, yang penting ialah terus bekerja. Anwar Ibrahim sentiasa komited membela Melayu dan memartabatkan Islam, bukan melalui ketakutan, tetapi melalui dasar yang memberi manfaat nyata kepada agama, bangsa dan negara.


"Kita akan terus mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, sambil membina negara yang stabil, maju dan dihormati oleh dunia.


"Kita juga tidak akan sesekali terperangkap dengan mainan politik yang berasaskan sentimen dan perpecahan," katanya.


Mohamad turut menyeru agar usaha memperkasa orang Melayu tidak lagi bersandarkan naratif bahawa kaum itu sentiasa berada dalam ancaman.


Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan perlu membina keyakinan dalam kalangan orang Melayu supaya muncul generasi yang berilmu, berintegriti, berdikari serta mampu menguasai ekonomi dan teknologi.


"Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan? Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan.


"Akhirnya, Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan, tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page