Penipuan kewangan atas talian semakin licik modus operandinya sejak kebelakangan ini akibat kelemahan yang wujud dalam sistem perbankan negara.
Menurut ADUN Semambu, Lee Chean Chung, terbaharu seorang pencarum Tabung Haji (TH) menjadi mangsa apabila RM98,900 wang simpanan beliau telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya dan lesap.
"Saya memandang serius kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan kita sehingga segelintir pencarum Lembaga Tabung Haji kini turut menjadi mangsa.
"Ekoran daripada sikap kelalaian dan pengabaian pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dari segi pemantauan dan juga kelemahan sekuriti TH sendiri, sebanyak RM98,900 dipindahkan daripada akaun TH mangsa kepada pihak ketiga, dan kemudian dilesapkan oleh sindiket scammer yang licik
"Mangsa juga telah memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang panggilan pengesahan, mesej atau “OTP/TAC” daripada pihak institusi kewangan namun transaksi pengeluaran wang daripada akaun TH diluluskan.
"Pihak sindiket telah berjaya mengaktif dan menyambungkan akaun TH mangsa kepada akaun bank beliau. Bukan setakat itu sahaja, malah sindiket tersebut juga telah menyambungkan akaun mangsa kepada akaun bank pihak ketiga," katanya dalam sidang media tengah hari tadi bersama mangsa penipuan kewangan atas talian.
Menurut Chean Chung lagi, selepas laporan polis dibuat mangsa dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat bahawa pihak bank akan memberi butiran penerima akaun selepas satu atau dua bulan.
"Bukankah tempoh sebulan dua ini terlalu tidak munasabah dan akan merumitkan kerja kerja siasatan pihak berkuasa?
"Adakah BNM lalai dalam membuat pengawal seliaan supaya institusi perbankan sentiasa dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang terkini?
"Institusi kewangan badan berkanun kerajaan memainkan peranan sosial yang penting dalam kehidupan kita.
"Berbanding dengan bank swasta, institusi kewangan kerajaan ataupun berkaitan kerajaan memikul amanah yang lebih tinggi dalam menjaga dan mempertahankan harta serta simpanan rakyat," katanya.
Dalam masa sama, Chean Chung menggesa Tabung Haji tampil memberikan penjelasan mengenai isu kehilangan wang berkenaan agar tidak meresahkan 9 juga pencarum institusi kewangan berkenaan.
"Untuk menjawab keraguan jutaan pencarum, saya menggesa Lembaga Tabung Haji tampil memberikan penjelasan terhadap tahap keselamatan sistem perbankan online mereka kepada orang awam dalam masa terdekat.
"Sekiranya transaksi tersebut dibuktikan telah lulus tanpa kebenaran pencarum, ganti rugi yang setimpal sewajarnya diberikan," kata Chean Chung lagi.
Comments