
Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil melahirkan rasa bimbang dengan amalan rasuah yang dilihat semakin menjadi-jadi.
Mengulas perkara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata merasuah pengundi merupakan amalan tidak sihat kepada sistem demokrasi dan perlu ditamatkan.
"Ini satu trend yang agak membimbangkan dan dari segi keputusan pilihanraya kita serah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi dari segi politiknya ia trend membimbangkan.
"Sekiranya amalan sogokan itu adalah amalan rasuah, bagaimana sebuah parti yang perjuangkan agama Islam berasa tidak ada salah apa-apa bila terpalit dengan rasuah sedemikian rupa.
"Sekiranya ada parti yang terlibat dengan amalan rasuah dalam pilihanraya maka ini bukan satu amalan yang sihat untuk demokrasi negara kita," katanya dipetik.
Fahmi yang ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Menara TM pada Selasa sebelumnya mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada PRU15 kerana wujud elemen sogokan.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata buat masa ini pihak Kerajaan Perpaduan mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai keputusan terbaharu Mahkamah Pilihan Raya bagi Parlimen Kemaman itu kerana ia masih lagi menunggu sama ada pihak Pas akan merayu.
"Ini kerana keputusan mahkamah baru sahaja keluar dan kita belum tahu sama ada pihak terbabit ingin buat rayuan atau tidak, kerana mereka ada tempoh untuk buat rayuan maka kita akan ‘wait and see’ dan semestinya perkara ini dalam perhatian pimpinan kerajaan," katanya.
Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis semasa membatalkan kemenangan Che Alias berkata pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Selain membatalkan kemenangan pemimpin Pas itu, mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen.
Comments