Peningkatan sokongan rakyat bukti kejayaan separuh penggal PMX
- Suara Keadilan
- Jun 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Peningkatan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) kepada 55 peratus, diikuti tahap kepuasan atas Kerajaan Perpaduan sebanyak 50 peratus, mencerminkan keyakinan awam semakin membaik terhadap perdana menteri, sekali gus memberi isyarat momentum positif melepasi separuh penggal pentadbiran PMX.
Itu pandangan Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar), ketika mengulas dapatan terkini tinjauan yang dijalankan Merdeka Center.
Beliau berpendapat, dengan sokongan popular yang kukuh, Kerajaan MADANI berada dalam kedudukan yang baik untuk terus melaksanakan reformasi institusi dan penstrukturan semula ekonomi.
Katanya, terdapat beberapa faktor utama yang boleh mempengaruhi tahap sokongan itu terutama kadar inflasi menurun kepada 1.4% setakat Mac 2025, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.4% pada suku pertama tahun ini.
''Tambahan pula, tiada lonjakan harga yang besar susulan pelaksanaan reformasi subsidi diesel pada 2024, sekali gus mewujudkan kestabilan yang mengukuhkan kepercayaan awam terhadap kerajaan.
''Kedua ialah inisiatif berpaksikan rakyat. Langkah seperti kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, subsidi bahan api, dan bantuan tunai perayaan membantu mengurangkan beban kos sara hidup serta mengukuhkan sokongan rakyat.
''Ketiga adalah berkaitan stabiliti politik dan reformasi institusi. Langkah seperti memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan keberadaan majoriti dua pertiga di Parlimen membolehkan kerajaan melaksanakan reformasi dengan risiko gangguan politik yang minimum.
''Seterusnya kedudukan antarabangsa dan pelaburan langsung asing (FDI). Kejayaan diplomasi berprofil tinggi, termasuk menjadi Pengerusi ASEAN dan lawatan negara oleh (Presiden China) Xi Jinping memperkukuh imej Malaysia di peringkat global dan keyakinan pelabur (sekaligus melonjakkan nama Anwar),'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau ditanya sama ada dapatan daripada institusi penyelidikan dan tinjauan itu boleh dijadikan ukuran prestasi separuh penggal pentadbiran PMX atau sebagai indikator awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, beliau menyimpulkan bahawa angka semasa membentuk asas yang kukuh bagi separuh penggal kedua untuk pentadbiran Anwar.
Katanya, dengan kestabilan makroekonomi, pelaksanaan reformasi subsidi yang dikawal rapi serta komunikasi yang berkesan, kerajaan berpotensi mengekalkan malah meningkatkan sokongan rakyat.
''Menyelaraskan populariti peribadi Anwar dengan prestasi institusi kerajaan merupakan kunci kejayaan melalui naratif rakyat, libat urus langsung dan tadbir urus yang telus.
''Dengan kepimpinan yang mantap dan tadbir urus yang bijaksana, Malaysia berada di landasan yang betul menuju kemakmuran bersama dan pembaharuan institusi.
''Kerajaan MADANI juga mempunyai peluang bersejarah untuk membina semula keyakinan nasional, terutama jika reformasi kekal berpaksikan rakyat, telus, dan responsif terhadap semua lapisan masyarakat,'' ujarnya lagi.
Kommentare