top of page

Peningkatan populariti PM Anwar beri kesan positif prestasi Kerajaan Madani

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 28
  • 2 min read

Updated: Jun 29

ree

Oleh: Akmal Manaf


Populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dicerminkan melalui tinjauan Merdeka Center dengan 55 peratus pengundi memberikan penarafan positif, berpotensi dipanjangkan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Demikian pandangan dikongsi oleh Penganalisis Politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan ketika diminta mengulas mengenai penarafan terhadap Perdana Menteri (PM) ke-10 itu.


Beliau berkata, meskipun jumlah responden yang terlibat hanya 1,200, tinjauan itu mencerminkan sentimen rakyat yang boleh dipercayai.


''Memang dapatan daripada Merdeka Center itu boleh dijadikan ukuran kerana peningkatan hampir 12 hingga 13 peratus yang merupakan peratusan tinggi bukan satu atau dua peratus sebelum ini.


Prof Dr Azmi Hassan
Prof Dr Azmi Hassan

''Jadi ini menunjukkan terdapat faktor tertentu menyebabkan kenaikan mendadak tersebut yang memberi kesan positif kepada responden,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Tinjauan Merdeka Center baru baru ini mendapati majoriti pengundi Malaysia memberikan penarafan positif lebih 50 peratus kepada Anwar pada Mei tahun ini berbanding hanya 43 peratus pada Jun 2024.


Ditanya sama ada dapatan daripada tinjauan itu boleh dijadikan kayu ukur prestasi separuh penggal Anwar atau indikator bagi menghadapi PRN atau PRU akan datang, jelas Azmi, meskipun tinjauan tersebut melibatkan banyak soalan kepada 1,200 responden, namun satu aspek yang tidak disentuh ialah kecekapan Datuk Seri Anwar berucap di pentas antarabangsa, yang turut mempengaruhi pemikiran responden.


Katanya, ketangkasan Anwar berpidato juga memberi kesan kerana sokongan pemimpin dunia yang ditunjukkan kepada PM Malaysia dalam persidangan antarabangsa menaikkan imej negara.


''Dalam kalangan negara ASEAN, Datuk Seri Anwar tiada tandingan. Malah di peringkat Indo-Pasifik, beliau berada di landasan teratas dalam arena antarabangsa, terutama sekali dalam menghadapi kerenah (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump.


''Tiada pihak pembangkang yang boleh menunjukkan alternatif kepada kemahiran dan kepakaran Datuk Seri Anwar.


''Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau juga jelas menunjukkan kepimpinan dalam menangani isu Myanmar, Thailand, Kemboja, serta masalah sempadan.


''Jadi, perkara itu menunjukkan faktor yang memberi kesan positif kepada 1,200 responden, sekali gus menjadi antara faktor utama kenaikan mendadak dalam penarafan tersebut,'' ujarnya lagi.


Tinjauan Merdeka Center pada Mei tahun ini mendapati 55 peratus pengundi memberi penilaian positif terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut organisasi penyelidikan bebas itu, hasil kajian terhadap 1,208 pengundi berdaftar menunjukkan persepsi rakyat terhadap kestabilan negara semakin baik terutama dalam isu reformasi pentadbiran, pertumbuhan ekonomi, kenaikan upah dan kos sara hidup yang terkawal.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page