Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menterinya Datuk Seri Khairy Jamaluddin perlu memberi penjelasan berdasarkan lonjakan kes-kes jangkitan baharu Covid-19 varian Omicron yang dilaporkan meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu.
Menurut mantan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, jumlah kematian dan jumlah yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital amat perlu didedahkan untuk mengetahui tahap penularan jangkitan varian Omicron tersebut.
Katanya, hal itu perlu diperhitungkan kerana jika tidak dikawal jangkitan yang tinggi berpotensi menjejaskan sistem kesihatan.
"Saya berpandangan secara neutral, kita sekarang berada dalam gelombang Omicron di mana kebanyakan rakyat telah terima vaksin lengkap dan juga booster.
"Paling utama kita perlu beri perhatian ialah jumlah pesakit masuk wad, jumlah yang perlu rawatan di ICU dan jumlah kematian. Kita lihat dari segi statistik jumlah masuk hospital meningkat, lebih kurang 50% berbanding minggu lepas.
"Dalam hal ini saya rasa menteri kesihatan perlu beri penjelasan apa yang dia boleh jangka dalam 2 hingga 3 minggu ini, sama ada dia dan kementeriannya yakin bahawa gelombang Omicron boleh turun dalam (beberapa) minggu ini atau tidak?" soalnya ketika dihubungi.
Mengenai cadangaan sesetengah pihak untuk menutup sektor ekonomi sebagaimana diamalkan pada tahun lalu, Dr Lee menyatakan hal tersebut perlu merujuk kepada data jumlah kes yang masuk hospital, kes kematian dan pesakit yang menerima rawatan di hospital.
"Penutupan ekonomi ini terpulang kepada data yang ada kerana sekatan ekonomi pun ada risiko dan impaknya yang serius.
"Jadi, kerajaan harus bertindak mengikut data yang mereka ada, dan setakat ini dia ada data (itu) cuma dia tidak buktikan kepada orang awam jadi kita tidak tahu asas keputusan yang dibuat setakat ini," jelasnya.
Jangkitan Covid 19 semalam yang melebihi 31,000 kes baharu dan mengejutkan rakyat kerana jumlah jangkitan varian Delta sebelum ini tidak mencapai kemuncak tertinggi sedemikian.
Comments