top of page

Peningkatan kes Covid-19 China: KKM tingkat kesiapsiagaan



Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, langkah itu susulan peningkatan mendadak penyakit tersebut dilaporkan di negara China ketika ini.


Antara langkah akan diambil KKM, katanya adalah dengan meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan dan kematian.


"KKM menggesa agar semua individu yang layak, tampil untuk mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan optimum terhadap penyakit Covid-19," ujarnya


KKM juga akan mengukuhkan pengurusan Covid-19 menerusi pendigitalan pengurusan kesihatan dengan menambah baik pendekatan Find, Test, Trace, Isolate, and Support (FTTIS) yang diautomasikan.


Melalui pendekatan itu, individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian ke aplikasi MySejahtera selain melakukan ujian di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan dikemas kini dalam aplikasi tersebut dengan kes positif diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian secara digital.


Kementerian juga akan memastikan semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit positif dengan fungsi pengoperasian CAC meliputi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah serta menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.


Seterusnya, CAC juga akan memulakan rawatan Paxlovid (nirmatrelvir atau ritonavir) kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk ke hospital serta membuat penilaian dan pelepasan kepada kes positif telah tamat tempoh pengasingan.


Wilayah perindustrian besar Zhejiang berhampiran Shanghai, China dilapor sedang bergelut dengan kira-kira sejuta jangkitan baharu COVID-19 setiap hari.


Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata kerajaan wilayah itu pada Ahad.


Walaupun terdapat peningkatan rekod kes di seluruh China, tiada kematian COVID-19 dilaporkan di tanah besar selama lima hari hingga Sabtu lalu, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China,

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sudah memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid ke Covid-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April lepas untuk merawat pesakit mengalami gejala ringan hingga sederhana atau kategori dua dan tiga dengan mengutamakan pesakit berisiko tinggi.


Penggunaan ubat dan rawatan itu sudah diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta dan diberikan kepada pesakit secara percuma namun masih tertakluk kepada caj perkhidmatan rundingan berkaitan.


KKM melalui kenyataan itu turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindari jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit lain, selain perlu mengamalkan TRIIS dan memakai pelitup muka di kawasan sesak.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page