Peningkatan jumlah lantikan guru baharu setiap tahun kejayaan Menteri Pendidikan
- Suara Keadilan

- 10 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Suntikan tenaga guru menguatkan nadi sistem pendidikan negara apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperbanyakkan lantikan guru baharu mengisi kekosongan tenaga pengajar di sekolah rendah dan menengah.
Mengulas kemasukan guru baharu yang meningkat sejak 2023, mantan Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar) berkata, beberapa inisiatif dan insentif yang dilakukan KPM sebelum ini dilihati telah berjaya menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang pendidikan.
Hal itu, katanya akan mengurangkan nisbah jurang jumlah murid dan tenaga pengajar yang sering menjadi bahan kritikan rakyat terhadap kerajaan sebelum ini.
"Saya yakin dasar baharu KPM mampu melahirkan generasi pewaris (pendidikan) yang lebih seimbang, berkemahiran mengendalikan pelbagai tugasan dan berakhlak mulia seperti yang digariskan dalam falsafah pendidikan negara.

"Isu lantikan guru baharu terlatih juga sebenarnya memang sangat dialu-alukan untuk memastikan sistem pendidikan kita dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kejayaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam menangani isu kekurangan guru secara berperingkat susulan peningkatan lantikan tenaga pengajar setiap tahun.
Untuk rekod, usaha Kerajaan MADANI mengatasi isu kekurangan tenaga pengajar terus menunjukkan hasil apabila 52,948 guru baharu telah ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara sejak tahun 2023 hingga kini.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, jumlah itu menunjukkan kadar pengisian melebihi 98% iaitu yang tertinggi setakat ini.
Ditanya sama ada guru disiplin dan kaunseling perlu ditambah di setiap sekolah berikutan isu disiplin pelajar yang semakin mencabar dalam era digital, Ustaz Zawawi berpandangan, langkah tersebut adalah wajar bagi memastikan nisbah antara pelajar dan dua guru tersebut menjadi lebih realistik.
Katanya, dengan perkembangan semasa yang mencabar, pelbagai isu pelajar perlu ditangani dengan lebih cepat dan berkesan sebelum ia menjadi satu fenomena dan merebak.
"Guru kaunseling juga perlu sentiasa diberi latihan dan kemahiran baharu sesuai dengan era digitalisasi yang menjadikan dunia pelajar lebih terbuka dengan pelbagai cabaran di alam maya.
"Minat pelajar kepada dunia ilmu juga perlu sentiasa dipupuk kerana (segelintir mereka) semakin leka dengan gajet dan pelbagai tarikan baharu di alam maya yang lebih meluas pada ketika ini," ujar beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.








Comments