Peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan baharu Covid 19 semalam sebanyak 1,867 kes di Pulau Pinang amat mengejutkan setelah sejak sebulan lalu kes menurun di bawah 800 jangkitan sehari.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Kerajaan Persekutuan seharusnya melancarkan pelan suntikan vaksin mega sebagaimana dijalankan di Lembah Kelang untuk mengelakkan keluk menaik jangkitan berterusan di pulau mutiara.
"Saya sangat mendesak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk melaksanakan "Operation Surge Capacity" seperti Lembah Kelang di Pulau Pinang dengan segera.
"Penduduk Pulau Pinang hanya 1.6 juta. Dengan 1,867 kes direkodkan, Pulau Pinang seperti merekodkan 9,000 kes kepada 8 juta penduduk di Lembah Kelang. Pendek kata, keadaan kita sama dengan Lembah Kelang sekarang.
"Ketika Lembah Kelang melaksanakan "Operation Surge Capacity", kawasan itu mencatat hanya 5,000 kes sehari. Ini membenarkan perlunya Pulau Pinang mendapatkan rawatan yang serupa," kata Sim dalam satu kenyataan.
Selain itu, Pengarah Strategi KEADILAN itu juga melahirkan rasa kesal beliau ke atas masalah kekurangan vaksin yang terus berlanjutan di Pulau Pinang.
Katanya, sekiranya masalah kekurangan vaksin masih berlaku maka wilayah utara akan menghadapi peningkatan kes yang sukar dibendung seperti yang berlaku di Lembang Kelang kini, terutama dalam menghadapi Covid varian Delta yang lebih cepat berjangkit.
"Pada masa sama, saya kesal beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang ditutup pada Ahad lalu kerana kekurangan vaksin.
"Jelas, apa yang saya perhatikan berlaku kekurangan vaksin sejak beberapa bulan lalu. Pulau Pinang mesti memberi lebih banyak tekanan untuk mendapatkan vaksin yang diperlukan bagi negeri ini.
"Saya menggesa PM sementara memberikan sumbangan terakhirnya dari jawatannya kepada rakyat Pulau Pinang, dengan memerintahkan JKJAV untuk melaksanakan Operasi Surge Capacity ke Pulau Pinang, Kedah dan wilayah utara lain," katanya lagi.
Comments