Peningkatan daya saing Malaysia: PM Anwar puji kecekapan penjawat awam
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan penjawat awam yang berjaya meningkatkan prestasi Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026.
Berucap dalam satu majlis di Alor Gajah pada Rabu beliau berkata, peningkatan prestasi Malaysia itu turut menerima pujian daripada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov semasa kunjungannya ke negara itu baru-baru ini.
Malah tambahnya, pencapaian itu turut menarik perhatian Berdimuhamedov yang berhasrat menghantar pasukan penjawat awamnya bagi mengadakan perbincangan dengan penjawat awam negara untuk meningkatkan prestasi mereka.
"Prestasi kita (Malaysia) dalam tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar Perdana Menteri… (tetapi) sebab sistem (pentadbiran penjawat awam) itu, dan rakan-rakan dalam pasukan… sebab penjawat awam.
"Presiden (Berdimuhamedov) sebut World Competitiveness Index (Penarafan Daya Saing Dunia), anda telah menunjukkan prestasi yang sangat baik.
"Saya kata terima kasih (kepada Presiden Serdar), tetapi saya tahu ini berlaku kerana pasukan perkhidmatan awam… kecekapan dan perkhidmatan itu bukan hasil usaha saya seorang, tetapi seluruh pasukan di seluruh negara," katanya dipetik media tempatan.
Perdana Menteri sebelumnya hadir ke Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan bdi Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE).
Program tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.
Berdasarkan rangking dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), Malaysia kini berada di kedudukan ke-15 daripada 70 negara dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 .
Dengan skor keseluruhan 81.91 mata, pencapaian ini sekaligus menjadi yang terbaik Malaysia dalam indeks tahunan tersebut setakat ini.




Comments