Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berharap usaha berterusan menilai keselamatan pokok di bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa bandar utama oleh pihak berkuasa tempatan amat dialu alukan.
Beliau berkata, pokok yang berusia perlu diperiksa oleh pihak yang pakar untuk memastikannya selamat.
"Sejurus selepas kenyataan saya minggu lepas yang mencadangkan kepada MBPJ supaya diadakan “Doktor Pokok” ataupun aborist untuk memeriksa semua pokok lama di Petaling Jaya, saya dimaklumkan kini Majlis (Bandaraya Petaling Jaya) tengah menjalankan penilaian pokok berisiko di sepanjang jalan protokol di dalam Pusat Bandar 52 dan Jalan Selangor.
"Pemeriksaan secara awal adalah kritikal supaya nyawa dan harta rakyat terjaga sebelum terlewat," katanya.
Chean Chung berkata demikian dalam hantaran Facebook mengenai kejadian ribut yang menjejaskan beberapa flat di Petaling Jaya yang dilawatinya pagi ini.
"Ribut kuat melanda Petaling Jaya semalam. Pagi ini saya meninjau bumbung yang terbang di Flat Taman Perangsang bersama Penyelaras DUN Halimey Abu Bakar dan Ahli Majlis Nora Mansor.
"Untuk hari ini, pasukan saya bersama ADUN dan Penyelaras serta Ahli Majlis akan terus membantu mangsa yang terjejas," katanya.
Comments