top of page

Pengurusan TH 2014-2017 perlu dipertanggungjawabkan atas salah urus

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Aug 11
2 min read

Pihak yang menguruskan Tabung Haji (TH) antara 2014 hingga 2017 perlu bertanggungjawab berhubung kelemahan yang berlaku sehingga terjadi kerugian dan salah urus sebagaimana yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) yang diterbitkan.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, himpunan yang diadakan di depan Bangunan Parlimen hari ini bukanlah bertujuan menakut nakutkan pendeposit agar mengeluarkan simpanan mereka dari TH, sebaliknya menuntut pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan institusi itu pada tempoh berkenaan dipertanggungjawabkan.


"Ketika saudara kita dirompak, disamun maka kita bangkit untuk meminta siapa saja yang bertanggungjawab (menguruskan TH) pada 2014 - 2017," katanya dalam himpunan pagi tadi.


Menurut beliau, keadaan TH ketika ini sudah pada kedudukan yang lebih baik hasil pengurusan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amanah dan berintegriti.


Bagaimanapun, kata Mustapa, hal itu tidak bermakna pemimpin Umno yang terlibat dalam pengurusan TH pada tempoh 2014 hingga 2017 boleh lepas tangan.


"Satu puak, kalau berceramah bagi ke mereka. Tetapi apabila jumpa rakyat (isu TH, mereka) senyum-senyum. Kami minta mereka bertanggungjawab.


"Pada 2014 - 2017 siapa memerintah waktu itu, (siapa) yang jadi lembaga pengarah (TH), semua dari parti yang itu," katanya.


Beliau berkata, NGO dan masyarakat Islam prihatin telah mengadakan perhimpunan di beberapa lokasi sebelum ini, termasuk di Bangunan Tabung Haji hingga ke Parlimen.


Sehubungan itu, kata Mustapa, gerakan tersebut akan diteruskan ke peringkat negeri bagi memberikan penjelasan kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar mengenai keadaan pengurusan TH dalam tempoh yang dipersoalkan.


"Lepas ini kita pergi ke negeri-negeri jelaskan kepada orang kampung. Jelaskan 2014 - 2017 Tabung Haji berada di tangan orang tidak bertanggungjawab," katanya.


Beliau berkata usaha tersebut penting bagi memastikan persoalan berkaitan pengurusan TH pada tempoh berkenaan tidak dilupakan, selain memastikan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab mengambil tanggungjawab.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page