Pengurusan ekonomi PM Anwar berjaya kurangkan hutang negara - KEADILAN Perak
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa pengurusan hutang negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'kurang berkesan' berbanding era Perikatan Nasional (PN) disifatkan tersasar dan bermotif politik apabila data rasmi menunjukkan kedudukan fiskal negara semakin baik dengan defisit menurun selain ekonomi berkembang.
Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Azam Afandi berkata, dakwaan seperti itu mungkin 'sedap' untuk dijadikan slogan politik, tetapi ia tidak menepati disiplin analisis ekonomi yang serius.
Beliau berkata, hakikatnya data rasmi menunjukkan kedudukan fiskal negara semakin bertambah baik di bawah Kerajaan MADANI.
"Pada tahun 2024, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 5.1%, jauh lebih baik berbanding 3.6% pada 2023.

"Manakala defisit fiskal berjaya diturunkan kepada 4.1% daripada KDNK, lebih baik daripada 5.0% pada 2023 dan juga melepasi sasaran 4.3% yang ditetapkan kerajaan.
"Pada masa yang sama, pelaburan meningkat 12%, jumlah perdagangan naik kepada RM2.88 trilion dan aliran masuk FDI bersih meningkat kepada RM47.4 bilion.
"Ini bukan gambaran pengurusan yang lemah, tetapi petanda bahawa ekonomi negara sedang diperkukuh sambil fiskal dikonsolidasikan secara beransur-ansur " katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bahawa pengurusan hutang negara di bawah pentadbiran Anwar dikatakan kurang berkesan berbanding era kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tun Faisal berkata, meskipun negara berhutang ketika pandemik dan endemik Covid-19 yang lalu, namun impaknya jelas membantu meringankan beban rakyat serta merancakkan ekonomi.
Azam berkata, data rasmi memihak kepada kerajaan bukan kepada propaganda politik sambil menegaskan bahawa menilai pengurusan ekonomi negara hanya melalui satu angka tanpa membaca keseluruhan gambar, merupakan pendekatan dangkal dan mengelirukan rakyat.
Katanya, Kerajaan MADANI sedang menguruskan negara dalam keadaan dunia yang masih tidak menentu, namun tetap berjaya memperbaiki pertumbuhan, menurunkan defisit, meningkatkan hasil, memperkukuh pelaburan sekali gus memastikan hutang kekal dalam lingkungan terkawal.
"Itu bukan kegagalan. Itu ialah pengurusan yang berhemat, bertanggungjawab dan berorientasikan reformasi. Rakyat berhak mendapat perbahasan yang matang, bukan kenyataan politik yang memilih data tertentu untuk membina persepsi palsu.
"Dalam soal ekonomi dan hutang negara, kita mesti berpegang kepada fakta, bukan sentimen. Fakta hari ini jelas menunjukkan bahawa pengurusan fiskal di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar sedang bergerak ke arah yang lebih mampan, lebih telus dan lebih berdisiplin," katanya sambil memuji kepimpinan Anwar yang juga Presiden KEADILAN.




Comments