Tindakan Menteri Besar (MB) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mempertahankan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memberi imbuhan RM10,000 kepada setiap ahli lembaga pengarahnya dikritik banyak pihak.
Bagi Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, tindakan MB tersebut amat tidak wajar memandangkan pengurusan AKSB sebelum ini dianggap lemah, malah oleh pemimpin Pas sendiri.
"Isu air ini seperti mana kita maklum kelemahan utama telah dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) pada sesi parlimen sebelum ini (sebagai Menteri Alam Sekitar) ketika sesi soalan Nik Nazmi (tahun lalu) pasal air, dan Tuan Ibrahim beritahu bahawa punca utama adalah kelemahan tadbir urus AKSB.
"Hari ini salah satu bukti yang menunjukkan kelemahan tersebut kita dengar AKSB didakwa berhutang dengan TNB. Tetapi baru baru ini bising, di mana pengarah pengarah AKSB pula mendapat wang sagu hati (hari raya) yang banyak, iaitu RM10,000 seorang," katanya.
Menurut Zinda Khalil, amat tidak wajar pemberian imbuhan Hari Raya Aidilfitri itu dilakukan ketika syarikat tidak mempunyai kewangan kukuh dan pengarah syarikat pula telah diberi gaji yang lumayan.
"Di sini kita boleh nampak kelemahan ketara dalam AKSB. Dengan keadaan kewangan tidak kukuh, tetapi pengarah yang sudah punya gaji besar diberi pula wang sagu hati RM10,000," katanya lagi.
Semalam, MB Kelantan mempertahankan tindakan pemberian duit raya berkenaan kerana kata beliau anak syarikat kerajaan negeri yang lain turut berbuat demikian.
"Saya lihat dari segi mana-mana GLC atau syarikat berhak untuk memberi apa-apa sumbangan kepada ahli lembaga pengarahnya.
"Jadi kemungkinan inilah (keputusan) yang diambil oleh AKSB, itu jawapan ambo (saya) doakan yang terbaik walaupun menghadapi masalah," katanya dilapor Malaysiakini.
Terdahulu portal sama melaporkan notis kelulusan pemberian sagu hati AKSB yang tersebar menyenaraikan setiap ahli lembaga pengarah dipercayai seramai sembilan orang menerima sagu hati Aidilfitri RM10,000 setiap seorang, manakala setiausaha syarikat diberikan RM2,000 dan kakitangan sebanyak RM200.
コメント