Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan elaun RM500 bagi Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bermula Januari tahun hadapan.
Pada ucapan perasmian Persidangan PEDi Madani 2023 di Putrajaya pada Rabu beliau yang juga menteri Kewangan berkata, transformasi digital merupakan antara tunggak dalam strategi ekonomi Madani dan pihak yang terlibat secara langsung dengan PEDi dengan penuh dedikasi berjaya memanfaatkan kegunaan PEDi bagi komuniti setempat.
"PEDi ini merupakan satu strategi yang sangat penting dan kita harus pastikan ia lebih berhasil. Keluarga PEDi akan jadi lebih besar, kita mulakan dengan RM25 juta dan sekiranya perlu tambah, saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan," katanya dipetik.
Difahamkan, Pengurus PEDi sebelum ini menerima elaun sebanyak RM2,000 manakala penolong pengurus menerima RM1,500.
Anwar melalui Belanjawan 2024 lalu mengumumkan peruntukkan RM25 Juta bagi memperkasa peranan PEDi dalam membantu masyarakat setempat.
Sementara itu, dalam ucapannya Anwar meminta syarikat telekomunikasi memberi tumpuan dalam bidang pengkhususan dan kepakaran baharu yang selaras dengan keperluan industri masa kini.
Langkah itu jelasnya bagi mendukung agenda pembangunan masyarakat dan memastikan kemudahan transformasi digital dinikmati semua peringkat.
Beliau turut memaklumkan pada sesi pertemuannya dengan beberapa pihak industri luar negara sebelum ini beliau menerima maklum balas bahawa tenaga kerja Malaysia memerlukan kemahiran tambahan biarpun mereka berpuas hati dengan disiplin pekerja.
"Saya tanya berterus terang dengan mereka, apa sebenarnya yang mereka mahu, beritahu saya apa yang diperlukan, apa yang perlu dilakukan lagi. Semua mengatakan tenaga kita, profesional kita, disiplin kerja, etika mereka memuaskan, tapi yang kurangnya ialah kemahiran tambahan, ini cabaran kita.
"(Oleh itu), syarikat-syarikat telekomunikasi yang ada harus melihat ke dalam bidang-bidang ini (bidang baharu) untuk bantu selaraskan aspek ‘kepakaran’ dan ‘pengkhususan’ yang diperlukan. Ini sasaran kita," katanya lagi.
Comments